Isu kartel daging: Tak boleh salahkan JAKIM, JAIN

 

KUALA LUMPUR: Umat Islam disarankan berwaspada sekali gus mengelak daripada membeli dan makan daging import di pasaran yang tidak memiliki sijil halal keluaran Malaysia.

Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar AriffMohd Kashim, berkata orang ramai seharusnya tidak terpedaya walaupun ia dijual dengan harga murah.

“Kes ini tidak membabitkan semua daging import luar negara, maka tidak perlu risau untuk makan daging import yang ada sijil halal Malaysia.

“Bagaimanapun, kita perlu elak daripada makan daging import yang tidak ada sijil halal Malaysia kerana ramai yang melakukan penipuan di luar pengetahuan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, BH mendedahkan kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya, dipercayai ‘membeli’ beberapa kakitangan kerajaan.

Modus operandi itu antara lain dipercayai tindakan mengupah pegawai kanan agensi tertentu bagi melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara.

Mohd Izhar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) tidak pernah memberikan sijil halal kepada kartel daging berkenaan, bahkan cop yang digunakan juga adalah tidak diiktiraf.

“Semua daging luar negara yang masuk wajib mendapat kelulusan sijil halal Malaysia dan Jabatan Veterinar Malaysia.

“Namun, ia perlu melalui proses yang lebih awal iaitu dengan mempunyai surat-surat sokongan termasuk daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan lain-lain.

“Tugas JAKIM dan JAIN hanya melihat kepada dokumen persijilan sahaja. Selain daripada itu, tidak tertakluk di bawah bidang kuasa mereka,” katanya.

Beliau turut berkata, secara tidak langsung, JAKIM dan JAIN tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini, memandangkan kedua-dua agensi ini tidak pernah memberi sijil halal bagi kemasukan daging berkenaan.

“Ini bermakna, sepatutnya tidak boleh dilepaskan masuk tetapi persoalannya bagaimana ia boleh memasuki pasaran Malaysia?

“Perkara ini yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan JAKIM sendiri tiada kuasa untuk membenarkan kemasukan daging berkenan yang berlarutan sekian lama,” katanya.

Beliau turut menegaskan, siasatan lanjut mengenai isu kartel ini tidak berkaitan dengan JAKIM.

“JAKIM dan JAIN boleh dipersalahkan jika mereka bertanggungjawab memberi sijil halal kepada pihak terbabit, tetapi perkara sedemikian tidak berlaku.

“Jadi, jawapannya kita perlu tunggu pihak berkuasa untuk membuat siasatan lanjut,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts