‘Kematian ulama berturut-turut satu musibah’

 

PUTRAJAYA: Kematian ulama dianggap satu musibah terutama apabila kematian mereka berturut-turut pada waktu hampir sama seperti yang berlaku mutakhir ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata ada kala pada tahun sama, beberapa tokoh ulama meninggal dunia hampir serentak dan ia digambarkan seolah-olah rantaian biji tasbih yang jatuh serta terungkai sekali gus.

Beliau berkata, hakikat manusia berakhir dengan kematian adalah ujian Allah di muka bumi ini dan sikap tabah, sabar serta reda dengan kehendak Allah adalah yang terbaik sebagai tanda umat Islam beriman dengan qada dan qadar.

“Berita pemergian Tan Sri Dr Harussani Zakaria amat menyedihkan kita kerana mengenangkan jasanya yang begitu banyak, menjawat jawatan sebagai mufti lebih tiga dekad menunjukkan thiqah dan kepercayaan kerajaan kepadanya yang terkenal dengan sifat ulama rabbani.

“Orang sepertinya termasuk dalam sabda Rasulullah SAW iaitu ‘ilmu ini akan dibawa oleh ulama yang adil daripada tiap-tiap generasi’.

“Mereka akan menafikan segala penyimpangan dilakukan orang yang melampau, menolak kebohongan pelaku kebatilan dan ta’wilan orang jahil.

“Sebenarnya ulama yang hebat ialah ulama rabbani yang kukuh ilmu mereka, indah akhlak keperibadian dan teguh hubungan dengan Allah serta manusia,” katanya dalam hantaran melalui Facebook, petang tadi.

Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) dalam satu kiriman di Facebook hari ini memaklumkan Harussani, 82, meninggal dunia jam 3 petang di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, Perak.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) RHRPB selepas disahkan positif COVID-19.

Zulkifli berkata, Harussani tergolong dalam ulama berilmu dan beramal dengan ilmu serta ikhlas mengamalkannya.

Beliau berkata, kematian ulama adalah musibah dan kehilangan mereka dari pentas dakwah adalah satu yang malang kepada ummah.

“Lebih merisaukan lagi ketika menangisi pemergian ulama dan kekalnya golongan jahil yang segolongannya mengambil tempat ulama, memakai pakaian ulama dan menggunakan gelaran ulama.

“Sedangkan mereka tidak bersandarkan ilmu, petunjuk dan kitab. Apabila mereka berfatwa tanpa disandarkan ilmu dan apabila melakukan penghakiman juga melakukan cara sama,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau mengenali Allahyarham Harussani lebih 20 tahun dan menjadi lebih akrab ketika menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

“Saya kerap menziarahi beliau dan bertemu pada Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia atau beberapa acara rasmi negara.

“Saya juga bersembang dan mendengar buah fikirannya yang tuntas serta bernas dan setiap kali ke Perak bagi urusan rasmi, saya pasti menziarahi beliau meminta nasihat dan doa daripada ‘orang lama yang penuh barakah,” katanya.

Zulkifli turut mengajak umat Islam bersama-sama melakukan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Harussani sebagai tanda kasih kepada ulama.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts