Kenali ajaran sesat

Sebelum kedatangan risalah Islam, manusia berada dalam kesesatan akidah dan cara hidup yang menyeleweng sebagaimana dijelaskan di dalam al-Quran surah Ali Imran ayat 164 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada iktiqad yang sesat) serta mengajar mereka Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”

Justeru seruan Nabi Muhammad SAW supaya beriman kepada Allah SWT telah menyelamatkan umat manusia dari terus hanyut dalam kesesatan dan penyelewengan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman).”

Hanya dengan keimanan kepada Allah menjadikan manusia sebagai umat terbaik iaitu yang mengamalkan sifat pertengahan, tidak terlalu ekstrem atau longgar dalam kehidupan beragama. Orang yang beriman juga menjalani kehidupan berpandukan nas, hujah dan dalil yang sahih serta menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras dalam segenap urusan kehidupan.

Namun sudah menjadi tabiat manusia semenjak berzaman, mudah terjerumus di dalam kesesatan dan penyelewengan walaupun setelah menerima penjelasan dan keterangan tentang akidah Islam.

Perkara tersebut dijelaskan melalui firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 41 bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar.”

Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.

Firman Allah dalam surah Al-Najm ayat 28 yang bermaksud:

“Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktiqad).”

Di dalam sejarah Islam, golongan sesat wujud pada zaman Nabi Muhammad SAW misalnya ajaran yang dibawa oleh Musailamah al-Kazzab yang mendakwa dirinya nabi dan mereka-reka ayat untuk menyaingi al-Quran. Kewujudan ajaran sesat berlaku pada zaman berikutnya dan dibanteras serta diperangi oleh pemimpin umat Islam demi memelihara kesucian akidah.

Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 56 bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah yang lain daripada Allah. Katakanlah lagi: ‘Aku tidak akan menurut hawa nafsu kamu, kerana kalau aku turut, sesungguhnya sesatlah aku dan tiadalah aku daripada orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.'”

Ajaran sesat dapat dikesan apabila al-Quran dan hadis dipertikaikan serta wujud perubahan dalam kefahaman dan syariat Islam yang diamalkan serta diketahui umum. Golongan sesat juga lazimnya cenderung mengagung-agungkan pemimpin dan guru mereka melebihi kedudukan nabi serta bersifat taasub.

Oleh itu, al-Quran dan hadis, ulama yang muktabar serta golongan yang berkelayakan seperti pihak berkuasa agama mestilah selalu dirujuk agar kita tidak terjerumus ke dalam ajaran sesat dan menyeleweng.

Jauhilah perbuatan melampaui batas yang menjadi tabiat Ahli Kitab seperti dinyatakan dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 77 yang bermaksud:

“Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) daripada jalan yang betul.”

Sifat melampau yang disebabkan oleh kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama telah menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia.

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) meneruskan komitmen dalam melaksanakan aktiviti pemantauan dan tindakan terhadap aduan berkaitan ajaran sesat berdasarkan Akta 559 (Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997) dengan kerjasama pelbagai pihak.

Pemantauan dan pengumpulan maklumat dari semasa ke semasa dilaksanakan bagi memastikan tiada sebarang unsur penyebaran ajaran atau apa-apa fahaman yang telah difatwakan sebagai menyeleweng atau terpesong atau sesat di samping mengalu-alukan masyarakat untuk membuat aduan sekiranya terdapat aktiviti berkaitan agama Islam yang diragui atau menyeleweng.

Memelihara agama adalah tuntutan penting di dalam maqasid syariah lebih-lebih lagi ketika umat Islam mendepani penularan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu pada zaman kecanggihan teknologi serta tempoh getir pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Marilah kita semua memelihara diri dan ahli keluarga agar berpegang kepada manhaj akidah yang sahih sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi daripada Abdullah Bin Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya telah berpecah Bani Israel kepada tujuh puluh dua kelompok. Manakala umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga kelompok di mana kesemuanya akan ke neraka kecuali satu kelompok. Mereka bertanya: ‘Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?’ Baginda SAW menjawab: “Mereka ialah golongan yang berpegang kepada ajaranku dan para Sahabatku.”

Sesungguhnya pegangan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan jalan yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan bersandarkan sumber al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qias. -My Metro

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts