Lebih Baik Mati di Sini: Palestin Tolak Rancangan Israel Rampas Bandar Gaza

Bandar Gaza kini di ambang satu lagi tragedi kemanusiaan besar.
Di sebalik runtuhan bangunan dan bau asap yang tidak pernah hilang, hampir sejuta rakyat Palestin berdepan pilihan paling kejam: dipindahkan sekali lagi atau mati mempertahankan tanah mereka.

Pada Jumaat, kabinet keselamatan Israel meluluskan rancangan mengambil alih bandar terbesar di Gaza, memindahkan ratusan ribu penduduk ke zon penumpuan di selatan — kawasan yang mereka dakwa “selamat”, namun di situlah ribuan nyawa sudah terkorban.

“Saya telah menghadap maut seratus kali. Lebih baik mati di sini,” kata Ahmed Hirz, yang sudah lapan kali dihalau dari rumahnya sejak perang bermula.
“Kami sudah cukup menderita. Keputusan kami: mati di tanah ini.”

Bagi Rajab Khader, berpindah bukanlah pilihan.

“Kami akan kekal di Gaza bersama keluarga dan orang tersayang. Israel hanya akan menemui jasad dan roh kami.”

Namun, di Gaza, tiada tempat yang benar-benar selamat.
Maghzouza Saada yang dihalau dari Beit Hanoon berkata,

“Selatan tak selamat. Utara tak selamat. Bandar Gaza pun tak selamat. Ke mana kami harus pergi? Ke laut?”


Panik & Putus Asa

Sejak berita ini tersebar, suasana Gaza bertukar panik. Ada yang mengemas barang bukan kerana tahu destinasi mereka, tetapi untuk mengelak dihalau secara tiba-tiba.
Hani Mahmoud dari Al Jazeera melaporkan:

“Ketakutan, kebimbangan, dan putus asa — semuanya meningkat. Israel janjikan zon pemindahan, tetapi orang mati dibunuh di situ.”

Kali ini, perpindahan lebih berbahaya — hospital musnah, air tiada, dan ramai warga emas serta pesakit tidak mampu bergerak.


36 Nyawa Diragut Sejak Subuh

Sejak pagi Jumaat, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 36 orang, termasuk 21 yang hanya mahu mencari bantuan makanan.
Di selatan Gaza, serangan dron di Bani Suheila membunuh dua orang. Di utara, seorang lagi pencari bantuan ditembak mati.

Lebih tragis, pusat bantuan yang dikendalikan organisasi GHF — disokong AS dan Israel — menjadi sasaran. Sejak beroperasi, lebih 1,300 rakyat Palestin telah dibunuh ketika cuba mendapatkan makanan.


Rancangan Jangka Panjang Israel

Israel dilaporkan mahu menguasai sepenuhnya Gaza dan menubuhkan pentadbiran baharu yang bukan Hamas atau Pihak Berkuasa Palestin. Proses ini boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Hamas menyifatkan rancangan itu sebagai “jenayah perang” dan berikrar akan menentang sebarang bentuk pendudukan.

Majlis Keselamatan PBB dijangka bersidang tergempar hujung minggu ini untuk membincangkan peningkatan serangan ini.


Gaza kini bukan sekadar medan perang. Ia medan pertarungan untuk terus hidup.
Di setiap sudutnya ada kisah keberanian, air mata, dan doa yang tidak pernah putus.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts