KUANTAN: Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang mencatatkan pencapaian luar biasa dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 apabila merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 0.60.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, daripada 48 calon yang menduduki peperiksaan, seramai 25 pelajar berjaya memperoleh semua A, manakala kesemua calon layak menerima sijil dengan peratus kelulusan 100 peratus.
Menurut beliau, pencapaian GPS 0.60 menunjukkan prestasi pada tahap antara A hingga A+, sekali gus membuktikan keupayaan Maahad Tahfiz Turath sebagai institusi pendidikan yang cemerlang di negeri Pahang.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukan sahaja tertumpu kepada akademik, malah melibatkan pembentukan sahsiah pelajar secara menyeluruh. Para pelajar bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, tetapi juga berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran serta aktif dalam kegiatan kokurikulum, selari dengan matlamat melahirkan insan seimbang dari aspek duniawi dan ukhrawi.
Dalam perkembangan berkaitan, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) juga menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam SPM 2025. Daripada 70 calon yang mengambil peperiksaan dengan kehadiran penuh, seramai 40 pelajar berjaya memperoleh keputusan semua A, manakala kesemua calon layak menerima sijil.
Institusi tersebut mencatatkan GPS 1.06, sekali gus mengekalkan kecemerlangan yang konsisten.
Bagi subjek elektif Pengajian Islam, tujuh daripada sepuluh mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi. Subjek Al-Adab Wa Al-Balaghah mencatatkan peningkatan tertinggi dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) sebanyak 1.28.
Secara keseluruhan, negeri Pahang merekodkan 671 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran daripada jumlah keseluruhan 17,429 calon yang menduduki SPM tahun tersebut.
Sumber: Merdeka Times
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








