Pembebasan Masjid Al-Aqsa tanggungjawab setiap orang Islam

 

PUTRAJAYA – Perjuangan membebaskan Masjid Al-Aqsa, Palestin daripada cengkaman rejim Israel adalah perjuangan yang melibatkan tanggungjawab setiap umat Islam.

Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr. Ekrima Sa’ed Sabri berkata, setiap pihak perlu memainkan peranan sama ada di peringkat individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan negara untuk mempertahankan kesucian masjid itu.

“Al-Aqsa berada di dalam hati umat Islam dan ia adalah satu bentuk akidah yang perlu wujud dalam diri masing-masing. Ini kerana Masjid Al-Aqsa adalah salah satu urusan penting kepada umat Islam seperti mana pentingnya Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah,” katanya selepas menyempurnakan pelancaran Yayasan MyAqsa di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Jumaat.

Beliau turut membaca khutbah dan mengimamkan solat Jumaat di masjid berkenaan selain beramah mesra dengan para jemaah.

Pada Julai tahun ini, Sheikh Dr. Ekrima dilapor mengalami kecederaan selepas selesai menunaikan solat di luar pintu Masjid Al-Aqsa apabila polis Israel cuba menyuraikan penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan seku­rang-kurangnya 14 rakyat Pa­lestin cedera.

Menurut Sheikh Dr. Ekrima, pihaknya sentiasa menghargai bantuan berterusan daripada kerajaan dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin selama ini.

Katanya, penglibatan NGO seperti Yayasan MyAqsa untuk membantu masyarakat Palestin adalah amat dialu-alukan dan pihaknya berharap sokongan berkenaan sentiasa berterusan.

“Lihat sahaja pasport Malaysia, ia tidak sah atau tidak boleh digunakan apabila individu itu berada di Israel, usaha berterusan kerajaan Malaysia dalam pelbagai perkara terma­suk politik banyak membantu dalam usaha membebaskan Masjid Al-Aqsa,” katanya.

Tegasnya, antara kebiadaban Israel yang berlaku pada tahun ini adalah apabila Masjid Al-Aqsa telah ditutup oleh rejim itu pada 14 hingga 27 Julai lalu serta berlaku banyak halangan untuk beribadah.

“Tindakan melampau ini termasuk menangkap pejuang dan pengawal Masjid Al-Aqsa, tetapi kami tegaskan bahawa Yahudi tiada hak untuk menakluk dan merampas Masjid Al-Aqsa daripada tangan kami,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyAqsa, Noorazman Mohd. Samsuddin, penubuhan yaya­san berkenaan adalah bertujuan membina hubungan dan kerjasama strategik dengan semua pertubuhan kerajaan dan NGO dalam kerangka membebaskan Masjid Al-Aqsa.

“Pada bulan Disember depan, kita merancang untuk menjemput ulama-ulama dari Palestin untuk forum peringkat antarabangsa di negara ini dan insya-Allah kita juga akan ke Palestin pada masa akan datang,” katanya.

Kata beliau, semua pihak perlu mengambil serius dalam usaha membebaskan Masjid Al-Aqsa kerana beliau mendapat laporan kajian mengenai berlakunya aktiviti Israel untuk melemahkan struktur masjid berkenaan serta membawa le­bih banyak kerosakan. – Utusan

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts