Perkasa kaedah agihan zakat dengan manfaat teknologi semasa

PUTRAJAYA: Semua agensi pengurusan zakat di negara ini wajar memperkasakan kaedah pengagihan bantuan zakat kepada kumpulan sasar dengan memanfaatkan teknologi semasa.

Hasrat itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang berpandangan perubahan pendekatan mesti dilakukan seiring kemajuan terkini.

“Terdapat pelbagai kaedah baharu boleh dilaksanakan dan selagi mana masih berada dalam kerangka syarak, kita perlu keluar daripada zon selesa mengorak langkah ke depan,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2021 secara maya dan turut disertai oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Datuk Selamat Paigo.

Program tahunan dianjurkan agensi tersebut sejak 2008 pada kali ini berlangsung secara dalam talian sejajar kebiasaan baharu selepas tidak diadakan tahun lalu disebabkan isu Covid-19.

Jawhar ditubuhkan pada 2004 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang antara objektifnya bagi mempertingkatkan tadbir urus institusi zakat dengan kerjasama negeri.

Mengulas lanjut, Idris berkata, situasi semasa sentiasa menuntut agensi pelaksana untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi membantu masyarakat yang terjejas teruk akibat impak wabak.

“Justeru, saya telah pun meminta Jawhar untuk meneruskan apa yang kita rancang pada hari ini agar bertepatan dengan pembudayaan budaya kerja kebiasaan baharu lebih cekap,” tegasnya.

Tanpa menafikan usaha pihak agensi zakat di setiap negeri, beliau berpendapat, perubahan pendekatan proses permohonan sehingga pengagihan masih lagi menepati maqasid syariah.

Jelasnya, ini termasuk dengan memanfaatkan media sosial bagi mengenal pasti asnaf baharu dan memaklumkan masyarakat Islam bagi meningkatkan lagi kesedaran pembayaran zakat.

Sejajar tema sambutan kali ini iaitu ‘Zakat Prihatin, Muzakki Cakna, Asnaf Merasa’, beliau yakin institusi zakat kekal relevan meskipun berdepan cabaran getir pasca Covid-19 selepas ini.

Pada masa sama, beliau meletakkan harapan kepada Jawhar selaku agensi peneraju inisiatif pemantapan sosioekonomi ummah dalam merangka pelan komprehensif zakat di Malaysia.

“Usaha ini sejajar piagam di bawah Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 bagi memajukan lagi hala tuju pengurusan kewangan sosial umat Islam di negara ini,” kata Idris.

Malah, menyedari urusan zakat, wakaf, sedekah dan pelbagai instrumen kewangan Islam lain di bawah kuasa negeri, beliau mengajak pihak terlibat turut serta dalam usaha murni Jawhar.

Apatah lagi jelasnya, Malaysia sejak sekian lama dikenali teguh di persada sejagat sebagai peneraju bidang tersebut dan menjadi harapannya agar kejayaan itu dapat dilonjakkan lagi.

Menurut beliau, pihak majlis agama Islam dan agensi zakat di negeri-negeri ada peranan signifikan dalam ekosistem kewangan sosial Islam yang wajar ditonjolkan sehingga peringkat global.

“Saya percaya, dalam pengurusan zakat, agensi kita seharusnya meneruskan usaha agresif turun ke lapangan mencari asnaf sejajar terjemahan konsep Keluarga Malaysia,” katanya. -Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts