Pluralisme ialah fahaman yang menganggap semua agama adalah relatif dan tiada satu pun yang memiliki kebenaran mutlak. Setiap agama, menurut pluralis, mempunyai kebenaran tersendiri yang harus diterima dan diiktiraf oleh penganut agama lain.
Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai agama, sebagaimana ditegaskan dalam Surah al-Māʾidah ayat 48, namun tidak mengiktiraf kesamarataan kebenaran antara agama. Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berinteraksi dengan penganut agama lain secara damai selagi Islam tidak dimusuhi. Ini menunjukkan Islam menerima kewujudan pelbagai agama (pluraliti), tetapi menolak kesamarataan kebenaran agama (pluralisme).
SEJARAH KEMUNCULAN PLURALISME
Pluralisme lahir daripada pengalaman Barat, khususnya selepas Zaman Pencerahan (Enlightenment) pada abad ke-18, sebagai respons terhadap konflik berdarah akibat dakwaan kebenaran mutlak oleh institusi agama. Tiga punca utama kemunculan pluralisme di Barat ialah:
- Dakwaan eksklusif kebenaran oleh agama seperti Kristian Katolik.
- Intoleransi terhadap perbezaan agama yang mencetuskan konflik.
- Usaha mendamaikan permusuhan antara mazhab Kristian dan antara Barat dengan Islam.
Di India, pluralisme muncul lebih awal dalam bentuk agama baharu seperti Sikhisme yang cuba menyatukan unsur Islam dan Hindu. Watak utama gerakan pluralisme moden ialah Wilfred Cantwell Smith dan John Hick yang cuba mentafsir semula konsep Islam dan kebenaran agama agar selari dengan fahaman pluralis.
DASAR DAN FALSAFAH PLURALISME
Pluralisme berakar daripada falsafah liberalisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Dalam fahaman ini:
- Agama dianggap pengalaman peribadi, bukan wahyu ilahi.
- Tiada agama boleh mendakwa kebenaran mutlak.
- Semua agama dianggap membawa kebenaran dan jalan ke syurga.
- Kebenaran dianggap relatif dan berubah mengikut masa dan konteks.
Pendekatan ini meruntuhkan prinsip moral dan ketetapan agama seperti yang dilihat dalam normalisasi isu LGBT yang dahulunya ditolak tetapi kini diterima atas nama hak asasi.
PLURALISME DI MALAYSIA
Arus pluralisme sudah menular di Malaysia dalam bentuk:
- Kekeliruan makna – Pluralisme disamakan dengan pluraliti atau toleransi agama.
- Dialog antara agama – Jika bertujuan mencari titik persamaan, ini membuka ruang kepada pluralisme. Tetapi jika bertujuan dakwah dan penjelasan Islam, ia dibenarkan.
- Manipulasi isu – Isu-isu semasa seperti kematian tokoh bukan Islam yang dianggap adil dijadikan hujah pluralisme kononnya layak ke syurga.
- Tuntutan NGO – Beberapa pertubuhan seperti SIS, IRF dan IKD membawa tuntutan liberal dan plural yang jelas bertentangan dengan Islam.
TANGGUNGJAWAB SEMUA PIHAK
Fahaman pluralisme perlu ditangani oleh:
Individu: Sentiasa peka terhadap isu semasa dan menambah kefahaman agama.
Pemimpin (Umara’): Menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah penyebaran fahaman ini.
Ulama’: Memberikan pencerahan dan bimbingan kepada masyarakat.
Sumber : Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR)