BANDAR GAZA, 14 November – Penderitaan ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza semakin memuncak apabila hujan dan cuaca sejuk mula melanda kawasan berkenaan awal pagi Jumaat. Keadaan ini berlaku di tengah-tengah amaran mengenai risiko banjir serta kemungkinan khemah dan pusat perlindungan uzur runtuh, lapor Agensi Anadolu (AA).
Menurut Jabatan Meteorologi Palestin, wilayah itu kini dipengaruhi sistem tekanan rendah yang membawa jisim udara sejuk hingga agak dingin, disertai hujan lebat dan sesekali ribut petir.
Pertahanan Awam Gaza telah mengeluarkan beberapa garis panduan serta amaran mendesak kepada penduduk, khususnya mereka yang berlindung di dalam khemah, supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan bahaya banjir dan keruntuhan.
Dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam menasihati rakyat Palestin supaya memastikan khemah sentiasa terikat kukuh, terutama yang berada berdekatan pantai yang mudah terdedah kepada angin kencang. Mereka turut menggesa penduduk membina benteng pasir bagi menghalang air laut daripada memasuki kawasan khemah.
Agensi itu juga menekankan keperluan menjauhi bangunan yang rosak teruk akibat serangan sebelum ini dan tidak lagi selamat didiami, kerana hujan lebat boleh menyebabkan struktur tersebut runtuh dan membahayakan penduduk.
Amaran turut diberikan agar tidak menyalakan api di dalam atau berhampiran khemah yang menggunakan bahan plastik dan fabrik bagi mengelakkan risiko kebakaran. Pertahanan Awam juga menyeru pembinaan “parit dan saluran antara khemah” bagi mengurangkan risiko banjir akibat air hujan.
Keluarga-keluarga yang kehilangan kediaman pula bimbang akan kesan ribut tersebut serta kemungkinan khemah dan barang keperluan terhad milik mereka ditenggelami air, sebagaimana yang pernah berlaku dalam dua musim hujan sebelumnya ketika serangan Israel memuncak.
Dalam dua tahun kebelakangan ini, banyak khemah mereka diterbangkan atau koyak akibat angin kencang, sekali gus memburukkan keadaan kerana mereka tidak mempunyai alternatif tempat perlindungan lain.
Akibat faktor cuaca dan kemusnahan daripada serangan udara Israel, Pejabat Media Gaza menganggarkan bahawa 93 peratus khemah pelarian tidak lagi layak didiami iaitu 125,000 daripada keseluruhan 135,000 khemah.
Alternatif pelindungan masih tidak tersedia kerana sekatan Israel yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan. Pihak berkuasa menyatakan bahawa Israel telah melanggar protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata bulan lalu, termasuk menghalang kemasukan bahan perlindungan seperti khemah dan rumah bergerak.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata berdasarkan pelan 20 perkara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump merangkumi pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran dengan pembebasan tahanan Palestin, selain pelan pembinaan semula Gaza serta penubuhan mekanisme pentadbiran baharu tanpa Hamas.
Sejak Oktober 2023, Israel telah membunuh lebih 69,000 orang di Gaza dan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut.
Sumber: RTM Portal
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








