Gaza kembali meratapi kehilangan. Suleiman Al-Obeid, legenda bola sepak Palestin yang digelar “Pele Palestin,” terbunuh dalam serangan kejam Israel ketika beliau bersama orang awam lain sedang beratur menunggu bantuan kemanusiaan di selatan Gaza pada Rabu.
Namun, penghormatan yang diberikan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kepada Allahyarham mencetuskan rasa kecewa di hati ramai, termasuk penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah. Dalam satu hantaran ringkas di platform X, UEFA hanya menyifatkan Al-Obeid sebagai “bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun di saat paling gelap,” tanpa menyentuh langsung tentang punca sebenar kematian beliau.
Salah, yang terkenal lantang menyuarakan isu kemanusiaan, tidak berdiam diri. Beliau membalas hantaran itu dengan penuh sindiran pedih:
“Bolehkah anda beritahu bagaimana beliau meninggal dunia, di mana, dan kenapa?”
Persatuan Bola Sepak Palestin telah pun menjelaskan bahawa Al-Obeid, 41 tahun, dibunuh dalam serangan Israel yang menyasarkan orang awam yang sedang kelaparan dan terdesak menunggu bantuan. Namun sehingga kini, UEFA masih berdiam diri dan enggan memberi komen ketika dihubungi Reuters.
Salah, bintang berusia 33 tahun kelahiran Mesir ini, sebelum ini juga pernah mendesak agar pintu bantuan kemanusiaan dibuka seluas-luasnya ke Gaza yang kini sudah hampir dua tahun dibedil tanpa henti.
Tragedi ini hanyalah satu daripada rentetan serangan yang mengorbankan nyawa rakyat Palestin. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejak pelancaran GHF — sistem pengagihan bantuan yang disokong Amerika Syarikat dan Israel — pada akhir Mei lalu, lebih 1,000 orang telah terbunuh berhampiran lokasi pengagihan dan konvoi bantuan di Gaza.
Sumber : Al-Jazeera