Tadabbur al-Quran agar Ramadhan kita lebih bermakna

 

Saya ingin mencadangkan kepada sesiapa yang sudi membaca, satu aktiviti yang boleh diamalkan agar ia dijadikan salah satu agenda kita di bulan Ramadhan pada tahun ini.

Ramadhan sudah pun jelas segala fadhilat dan kelebihannya, segala keberkatan dan ganjarannya dan bermacam-macam lagi yang boleh dikupas dan dicari sendiri.

Namun itu bukanlah tujuan perkongsian kali ini. Sepertimana yang dikatakan bahawa Ramadhan adalah bulan Al-Quran, bulan di mana turunnya Al-Quran (secara sempurna di Baitul Izzah, dan secara beransur-ansur ke muka bumi), dan juga Nabi SAW juga menyemak bacaan Al-Qurannya dengan Jibril AS setiap kali datangnya bulan Ramadhan, maka ia juga selayaknya menjadi satu perhentian muhasabah untuk kita setiap tahun (paling kurang setahun sekali) untuk melihat sejauhmana kita bertaamul, berinteraksi dan terkesan dengan Al-Quran.

Memahami Al-Quran memerlukan jiwa yang bersih, hati yang tenang, kefahaman yang benar dan berbagai perkara tertentu untuk dijadikan kayu ukur kita memahami Al-Quran.

Namun perkara ini sedikit sebanyak telah dimudahkan untuk kita sebagai orang awam, apabila di hadapan kita ada pelbagai terjemahan dan tafsir (juga ada diterjemahkan) untuk kita faham sedikit sebanyak maksud dan makna ayat-ayat Allah SWT dalam Al-Quran.

Apa yang saya ingin cadangkan adalah berbentuk meletakkan ‘tema’ tertentu dalam tadabbur kita terhadap Al-Quran pada bulan Ramadhan yang akan datang ini.

Saban tahun kita mengkhatam Al-Quran, dan adakala kita semak juga terjemahannya, adakala kita pula mentadabbur beberapa ayat-ayat tertentu pada waktu-waktu lapang kita, namun kita tidak berapa ‘berubah’ atau ‘terkesan’ secara spesifik terhadap apa yang kita baca setiap hari.

Atas sebab itu, saya cadangkan pada Ramadhan kali ini, kita cuba pasang ‘tema’ tertentu untuk perbaiki diri kita, agar apabila kita melalui bulan Ramadhan ia benar-benar dapat membantu kita ‘selesaikan’ masalah yang sedang kita harungi hari-hari.

Saya ambil contoh, sekiranya kita ini seorang yang cepat terasa dengan orang lain atau selalu pesimis. Bagaimana kita dapat manfaatkan kehadiran bulan Al-Quran ini agar kita mampu ubah sikap kita hingga kita jadi positif dan perbaiki sikap tersebut. Jadi kita cuba letak tema tadabbur Al-Quran kita adalah ‘bersikap positif’. Kita akan buka Al-Quran dan mencari kunci-kunci positif yang didatangkan dalam Al-Quran dalam tadabbur kita.

Kita akan jumpai bahawa sikap positif adalah sikap orang beriman (surah Al-Baqarah yang ceritakan sikap negatif orang munafiq dan sikap positif adalah sifat orang beriman), kita juga akan jumpai bahawa positif adalah kesan daripada iman yang benar (surah Ali Imran mengenai kisah Ibu kepada Maryam yang inginkan anak lelaki tetapi sebaliknya dikurniakan anak perempuan), kita juga akan jumpai bahawa sifat positif adalah hasil tafakkur (akhir surah Ali Imran yang menceritakan mengenai orang yang bertafakkur dan akhirnya membentuk ciri-ciri positif dan menyahut seruan Ar-Rasul lalu berjuang dan berhijrah) dan berbagai lagi jika mahu dikupas dalam kerangka kefahaman tadabbur Al-Quran.

Contoh lain, kita ambil tema ‘keseriusan’ kerana kita ini orang yang bersahaja dalam apa-apa kerja. Kita akan buka surah Al-Baqarah kita akan dapati bahawa kemurkaan Allah kepada Bani Israel adalah kerana mereka suka memperlekeh / mempermainkan para Anbiya’ yang turun (ambil kisah sembelih lembu dan kisah-kisah yang lain). Kita juga akan dapati daripada kisah Bani Israel bahawa punca tidak ambil serius pada urusan agama adalah kerana mereka takabbur (rasa besar diri) dan mengikuti hawa nafsu (tak mahu benda-benda berat) seperti yang disebut, dan difahami dalam kisah Talut dan Jalut.

Apabila kita buka surah Ali Imran pula kita dapati bahawa Allah suruh bersegera menuju keampunan dan syurga-Nya, kita akan dapati bahawa keampunan dan syurga seolah-olah bukan untuk orang yang bersahaja dan sambil lewa. Kita pula buka surah Taha menceritakan bagaimana Nabi Musa AS bersegera menuju ke Bukit Tursina selepas selamat dari Firaun, kerana mengharapkan redha Tuhannya. Difahami dari kisah itu bahawa kefahaman Nabi Musa menunjukkan redha Allah hanya dicapai dalam keadaan serius, segera, penat dan bersungguh-sungguh.

Dibuka pula surah Yasin, menceritakan mengenai seorang yang dikatakan namanya Habib An-Najjar yang datang dari hujung kampung dalam keadaan ‘tergesa-gesa’ untuk menyeru kaumnya bahawa ikutilah para rasul yang diutuskan. Di sini difahami bahawa ciri-ciri duat yang disebutkan dengan jelas dalam Al-Quran bahawa ia tidak bersahaja bahkan berlari dari hujung kota, yakni bukannya jirannya atau tetangganya, tapi dari ceruk kawasan semata-mata menunaikan tanggugnjawab imannya dalam memberikan peringatan.

Dibuka pula surah Adz-Zariat yang menyebut ; Larilah kepada Allah, seolah-olah cara kembali kepada-Nya bukanlah dengan ‘berjalan sambil lewa’ tetapi adalah dengan ‘hati yang cekal, bersungguh-sungguh, melawan kehendak nafsu, dan membulatkan tekad untuk berhijrah menuju Allah’ dan sebagainya.

Demikianlah dua contoh tema yang saya cuba sebutkan. Apabila kita jumpa beberapa ayat yang menyentuh secara tepat atau ‘kiasan’ terhadap tema itu, kita cuba catatkan ayat berapa dalam surah apa, serta apa tadabburnya, dalam buku nota, dan dijadikan panduan setiap kali kita ingin merujuk Al-Quran dalam merawat masalah kita dan orang lain.

Sebenarnya sekiranya pada setiap Ramadhan kita cuba lakukan perkara ini, nescaya diri kita akan sentiasa berkembang, kefahaman kita terhadap Al-Quran akan makin bertambah, dan meningkat ke martabat yang lebih tinggi, di sisi Allah SWT.

Akhirnya, matlamat tulisan kali ini hanyalah membumikan kefahaman, bahawa kita perlu menjadi Al-Quran yang hidup, sepertimana yang disifatkan oleh Saidatina Aisyah RA mengenai akhlak Baginda SAW ;

“Akhlak baginda adalah Al-Quran. Baginda adalah Al-Quran yang berjalan di atas muka bumi.”

Dan juga menepati saranan dan dorongan daripada hadis Nabi SAW :

“Rugilah barangsiapa yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya”

Wallahua’lam.

Ustaz Ahmad Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts