Keluarga kepada ramai tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel di bawah perjanjian pertukaran tahanan berkata bahawa kebebasan yang telah lama dinantikan itu terasa pahit manis selepas mereka mengetahui bahawa orang tersayang mereka akan dihalau ke negara ketiga.
Sekurang-kurangnya 154 tahanan Palestin yang dibebaskan pada Isnin sebagai sebahagian daripada pertukaran dengan tebusan Israel yang ditahan di Gaza akan diusir ke luar negara oleh Israel, menurut Pejabat Media Tahanan Palestin.
Mereka yang diusir ini termasuk dalam kumpulan lebih besar seramai 250 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel, bersama kira-kira 1,700 rakyat Palestin yang ditangkap dari Semenanjung Gaza sepanjang dua tahun perang Israel, di mana ramai daripada mereka dilaporkan “hilang secara paksa” menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam masa yang sama, Hamas dan kumpulan Palestin lain telah membebaskan 20 tebusan Israel di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Setakat ini, belum ada maklumat rasmi mengenai negara mana para tahanan yang dibebaskan itu akan dihantar, namun dalam pembebasan tahanan sebelum ini pada Januari, puluhan tahanan telah dihantar ke negara-negara serantau seperti Tunisia, Algeria dan Turkiye.
Pemerhati berkata, pengusiran secara paksa ini melanggar hak kewarganegaraan tahanan yang dibebaskan dan menunjukkan standard berganda dalam pelaksanaan perjanjian pertukaran tahanan.
“Tidak perlu dipersoalkan lagi, tindakan ini memang menyalahi undang-undang,”
kata Tamer Qarmout, profesor madya dasar awam di Doha Institute for Graduate Studies kepada Al Jazeera.
“Ia menyalahi undang-undang kerana mereka ini adalah warganegara Palestin. Mereka tiada kewarganegaraan lain. Mereka dibebaskan dari penjara kecil, tetapi dihantar ke penjara yang lebih besar dan jauh dari masyarakat mereka, ke negara baharu yang bakal mengenakan sekatan besar terhadap mereka. Ia tidak berperikemanusiaan.”
Keluarga terkejut dengan pengusiran
Bercakap kepada Al Jazeera di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, keluarga tahanan Palestin Muhammad Imran berkata mereka terkejut apabila mengetahui beliau termasuk dalam senarai yang akan diusir oleh Israel.
Raed Imran berkata, sebelum ini keluarganya menerima panggilan daripada pegawai perisikan Israel yang memaklumkan bahawa abangnya, berusia 43 tahun, akan dibebaskan pulang dan bertanya di mana beliau akan tinggal selepas dibebaskan.
Namun pada Isnin, keluarga itu kecewa apabila dimaklumkan bahawa Muhammad, yang ditangkap pada Disember 2022 dan dijatuhi 13 hukuman penjara seumur hidup, akan dibuang negeri.
“Berita hari ini sangat mengejutkan, tapi kami masih menunggu. Mungkin kami akan dapat menemuinya juga nanti,” kata Imran.
“Apa yang penting, dia dibebaskan sama ada di sini atau di luar negara.”
Pengusiran ini bermakna keluarganya mungkin tidak dapat ke luar negara untuk menemuinya kerana sekatan ketat Israel terhadap pergerakan keluar masuk sempadan.
“Ada keluarga yang akan melihat insan tersayang mereka dibuang negeri dari Palestin, tapi tidak ada cara untuk menemuinya semula,” kata wartawan Al Jazeera, Nida Ibrahim, yang telah banyak melaporkan dari Tebing Barat yang diduduki.
‘Kemenangan berganda bagi Israel’
Menurut Qarmout, pengusiran ini bertujuan menghalang Hamas dan kumpulan Palestin lain daripada memperoleh kemenangan simbolik hasil pertukaran tahanan serta menghapuskan peluang tahanan yang dibebaskan untuk terlibat dalam politik atau aktiviti lain.
“Pembuangan negeri ini menandakan berakhirnya masa depan politik mereka,” katanya.
“Di negara tempat mereka dihantar nanti, mereka akan berdepan sekatan yang sangat ketat sehingga tidak mampu lagi aktif dalam apa-apa usaha berkaitan konflik.”
Beliau menegaskan bahawa pengusiran ini merupakan pengusiran paksa dan hukuman kolektif terhadap keluarga tahanan, yang kini terpisah dari orang tersayang atau terpaksa meninggalkan tanah air sekiranya dibenarkan oleh Israel untuk berpindah menyertai mereka.
“Ini kemenangan berganda bagi Israel,” katanya, sambil membandingkan nasib tahanan Palestin dengan tebusan Israel yang dibebaskan dan dibenarkan kembali kepada kehidupan normal di negara mereka.
“Ia sekali lagi menunjukkan standard berganda dan hipokrasi yang ketara,” tambahnya.
Sumber: Al-Jazeera
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam