Usah isi kemerdekaan dengan perkara yang cemarkan kesucian Islam

Hari Kemerdekaan yang bakal disambut pada Khamis ini tidak seharusnya diisi dengan perkara-perkara yang mencemar kesucian Islam.

Demikian peringatan Jabatan Mufti Negeri Perak menerusi artikel bertajuk Kemerdekaan dan Islam yang disiarkan dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Saban tahun, katanya, acap kali acara-acara melalaikan seperti konsert nyanyian dan tarian, pesta, pertunjukan serta seumpamanya diadakan, sedangkan ia menatijahkan impak negatif kepada masyarakat yang akhirnya semakin terpesong daripada landasan syariat.

“Sewajarnya perkara-perkara yang melalaikan dan jahiliyah sebegini perlu dihentikan selaras dengan kemajuan yang ada,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila lambakan anak luar nikah disinonimkan dengan sambutan kemerdekaan disebabkan pasangan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk demi memuaskan nafsu masing-masing ketika sambutan berkenaan.

Perkara itu, kata Jabatan Mufti Negeri Perak, ia boleh memberikan kesan negatif falam pembangunan masyarakat dan negara.

“Tatkala negara sedang mengejar arus kemodenan, kita pula dicemari dengan kes-kes keruntuhan akhlak masyarakat, sekali gus merencatkan pembangunan akhlak masyarakat negara yang mana ia perlu seiring dengan agenda pembangunan negara,” ungkapnya.

Sekalipun Malaysia bebas dari cengkaman penjajah, namun Jabatan Mufti Negeri Perak berpandangan, kita masih lagi dibelenggu dengan pemikiran Barat terutama dalam aspek sosial, intelektual dan normalisasi kehidupan.

Mengambil contoh dari sudut sosial, katanya, sebahagian besar masyarakat masih lagi tidak menjaga batas pergaulan dan amalan muamalah sesama manusia.

“Keadaan ini merencatkan proses pembinaan modal insan yang mengikuti telunjuk syarak.

“Dalam aspek intelektual pula, masyarakat kita terpengaruh dengan ideologi-ideologi dibawa oleh Baat seperti liberalisme, sekularisme, pluralisme, literalisme dan banyak lagi.

“Begitu juga dengan normalisasi kehidupan masa kini yang cuba mengubah nilai-nilai yang dibawa oleh Islam. Misalnya, masyarakat tidak lagi mementingkan keperluan amar makruf nahi mungkar, sebaliknya bersikap mengutamakan diri sendiri berbanding orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Perak menitipkan pesan agar kita tidak memandang ringan kemerdekaan kurniaan ALLAH SWT.

Sebaliknya, ia perlu dinikmati dan disyukuri dengan kaedah paling baik. Dengan kata lain, setiap Muslim perlu melaksanakan perintah ALLAH SWT di dalam negara ini sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kemerdekaan.

“Ini termasuklah memberikan kesedaran dan peringatan tentang makna kemerdekaan dan makna diri seorang Muslim itu sendiri kerana manusia sememangnya sering lupa dan alpa ketika dilimpahi kenikmatan.

“Seperkara lagi, kesyukuran kepada Tuhan itu tidak hanya terikat pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu dilaksanakan pada setiap ketika dan keadaan mahupun apa jua situasi. Begitu juga halnya dengan kemerdekaan, jangan hanya mengenangnya ketika hari sambutan sahaja,” titipnya.

Jabatan Mufti Negeri Perak turut mengingatkan agar setiap masyarakat menikmati kemajuan yang mampu memberikan keselesaan kepada mereka tanpa mengetepikan aspek syarat.

Kepada pihak berwajib pula, gunakalah kemerdekaan itu demi membangunkan negara sebaik mungkin dengan cara menawarkan peluang pendidikan dan pekerjaan lebih baik.

“Ia supaya dapat melahirkan masyarakat bertamadun dan membasmi kemelesetan kemiskinan.

“Pada masa sama, pihak berwajib juga perlu menyediakan infrastruktur dan prasarana yang lengkap, seiring tanggungjawab dipikul.

“Ketahuilah, mereka yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab berteraskan prinsip integriti, maka ALLAH SWT pasti akan melimpahkan rahmat-NYA dan kebaikan kepada negara yang tercinta,” katanya.

Ia sebagaimana dinyatakan jelas dalam firman ALLAH SWT: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah KAMI akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul KAMI), lalu KAMI timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Surah al-A’raf, ayat 96)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Ada hikmah di sebalik kesabaran kita

    أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ…