Usah melampau ketika berwuduk

ADA segelintir orang begitu bersungguh-sungguh ketika berwuduk. Kadangkala paip air dilaras begitu kuat sehingga terpercik mengenai pakaian. Akhirnya, baju dan kaki seluar yang dipakai tadi habis basah.

Penulis pernah beberapa kali ‘bertembung’ dengan individu sebegitu ketika berada di surau. Perlakuan mereka mengambil air sembahyang begitu berlebih-lebihan seolah-olah seperti mahu mandi.

Apabila ditanya, jawapan yang diberikan begitu ringkas. Takut tidak sah wuduk jika guna air yang sedikit.

Hakikatnya, sedikit atau banyak air tersebut, ia bukan ukuran kesahan air sembahyang yang kita ambil tadi.

Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, menggunakan air secara berlebihan (melampaui had kesederhanaan yang biasa) atau pembaziran termasuk dalam perkara-perkara yang makruh ketika berwuduk.

Demikian yang dinyatakan oleh pengarang al-Fiqh al-Manhaji, terangnya.

“Bukan itu sahaja, dalam Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, para ulama telah bersepakat bahawa berlebih-lebihan dalam penggunaan air, hukumnya adalah makruh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #397: Membazir Air Ketika Berwuduk di maktabahalbakri.com.

Firman ALLAH SWT: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW melalui satu kawasan dan melihat Sa’d sedang berwuduk.IKLAN

Lalu, baginda SAW bersabda: “Kenapakah berlebihan guna air ini?” Maka, Sa’d menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan – yakni melampaui batas sehingga membazir?” Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kami berada di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan riwayat berkenaan, Dr Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, perbuatan menggunakan air secara berlebih-lebihan ketika berwuduk dilarang oleh Rasulullah SAW walaupun kuantiti air itu banyak seperti di laut, sungai dan seumpamanya.

Jangan membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali kerana ia merupakan perkara yang dimakruhkan.

“Menurut Syeikh Mulla Ali al-Qari, berlebihan dalam berwuduk juga termasuk lebih tiga kali basuhan pada anggota wuduk dan menambah lebih kadar yang diperlukan dalam penggunaan air,” katanya.

Maka, Dr Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia itu menyarankan supaya kita mencontohi Rasulullah SAW ketika baginda berwuduk.

Ketahuilah, Nabi Muhammad SAW mengambil air sembahyang dengan hanya menggunakan secupak air, ungkapnya.

Hal itu sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Jabr bahawa beliau mendengar daripada Anas RA, katanya: “Nabi Muhammad SAW mandi menggunakan satu gantang air (bersamaan empat hingga lima cupak air), dan baginda berwuduk dengan menggunakan satu cupak air.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, agamawan itu mengingatkan bahawa membazir dan sikap berlebihan itu bukan budaya Islam.

“Bahkan, ia langsung tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim yang disifatkan sebagai seorang yang bersederhana dalam setiap keadaan,” tegasnya. – Sinar Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts