Wacana pemikiran Islam Liberal di Malaysia perlu dibendung

 

ANTARA takrifan pemikiran Islam Liberal yang saya kira mudah difahami ialah seperti yang digariskan oleh Dr Ugi Suharto dalam bukunya PEMIKIRAN ISLAM LIBERAL & PEMBAHASAN ISU-ISU SENTRAL.

Beliau menggariskan 5 ciri pemikiran Islam liberal:

1. Menyokong sekularisme dan sekularisasi
2. Pluralisme
3. Kritis al-Quran
4. Hermeneutika
5. Feminisme

Kita telah biasa dengan seruan-seruan terhadap Malaysia ke arah negara sekular terutamanya daripada kelompok berpemikiran liberal dan sebahagian non-Muslim yang masih tidak memahami falsafah dan prinsip undang-undang Syariah dan kenegaraan Islam. Begitu juga unsur-unsur pluralisme dalam agama yang kerap juga diperdebatkan sementelah kita adalah negara berbilang kaum. Ideologi feminisme juga tidak asing bagi kita dengan pertubuhan-pertubuhan wanita yang memperjuangkan kesetaraan gender sehingga termasuk dalam lingkungan membantah apa yang telah ditetapkan oleh Islam.

Namun SIMPOSIUM KESEDERHANAAN AL-QURAN anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) dan G25, maju selangkah lagi dalam menyebarkan fahaman Islam liberal melalui konsep kritis al-Quran apabila mereka menjemput seorang tokoh yang telah tersenarai di dalam buku “50 tokoh Islam liberal Indonesia : Pengusung ide sekularisme, pluralisme, dan liberalisme agama / Budi Handrianto ; kata pengantar, Adian Husaini” iaitu Dr Mun’im Sirry, sebaris dengan nama-nama seperti Nurcholis Majid, Uli Absar Abdalla dan Taufik Adnan.

 

 

Sahibuss Samahah Mufti Perlis Professor Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr MAZA yang turut hadir sebagai pembentang ucaptama telah melakarkan respon beliau terhadap pembentangan Dr Mun’im Sirry sebagai;

benar-benar merampas kemampuan saya untuk hanya mendengar. Segala urat nadi saya bangkit membantah apabila secara jelas saya merasakan beliau merendah-rendahkan al-Quran secara bertalu-talu.”

Beliau menyenaraikan bantahan apabila Dr Mun’im Sirry mendakwa:

–> al-Quran kitab suci yang paling sukar untuk difahami
–> al-Quran dipenuhi dengan kontradiksi antara ayat-ayatnya
–> orang yang menyatakan al-Quran tiada kontradiksi dan ada mukjizat sains seperti Zakir Naik itu sebenarnya tidak membaca al-Quran
–> membaca al-Quran dalam surah-surah di peringkat Madaniyyah membawa kepada fahaman ISIS
–> al-Quran tidak pernah menamakan ajaran Nabi Muhammad sebagai Islam dan tidak pernah memanggil pengikut Nabi Muhammad sebagai muslim
–> menurut Muhammad Abduh (kononnya) tidak disyaratkan di zaman ini untuk menjadi orang yang beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w.

IRF dan G25 kini mengimport fahaman liberal dengan lebih mendalam dengan menganjurkan Mengkritik Teks Al-Quran dengan memberi pentas dan liputan terbuka kepada Dr Mun’im Sirry.

MENGKRITIK TEKS AL-QURAN DAN HERMENEUTIKA

Mengkritik teks al-Quran ini dipelopori oleh Nasr Hamid Abu Zaid seorang tokoh berpemikiran liberal dari Mesir. Beliau pernah bertugas di Universiti Leiden, Belanda dan pernah dihukum murtad oleh Universiti al-Azhar kerana mengkritik al-Quran dalam bukunya, Mafhum an-Nas – Dirasat fi’ulum Al-Quran (kefahaman mengenai Teks – Satu kajian mengenai al-Quran). Nasr Hamid Abu Zaid bersetuju dengan teori bahawa al-Quran itu bukan Teks Ilahi dalam bentuk asli, tapi telah disaring menurut pemikiran Muhammad. Nama-nama lain yang cenderung untuk men-dekonstruk al-Quran dengan secara tidak mengikut disiplin tafsir seperti yang dipelopori oleh ulama muktabar ialah Fazlur Rahman, Muhammad Arkoun, Farid Esack, Asghar Ali, Amina Wadud dan Asma Barlas, sekadar menyebut beberapa nama.

Selain daripada itu, pemikir Islam liberal juga cenderung kepada pendekatan hermeneutik dalam menafsirkan al-Qur’an sekaligus sebagai pengganti kepada Ilmu Tafsir. Istilah Hermeneutik digunakan oleh ahli Teologi Yahudi dan Kristian dan kemudiannya dikembangkan oleh golongan Protestan Liberal apabila mereka menghadapi masalah dalam memahami Bible. Mereka yang mendukung kaedah Hermeneutika sebenarnya menyamakan kedudukan al-Quranul Kareem dengan kitab Bible.

Oleh kerana itu, seawal pembentangan dalam forum anjuran IRF, Dr Mun’im telah menyatakan bahawa ada cara lain memahami al-Quran selain daripada kaedah tafsir. Tanpa menyebut hermeneutika, secara perlahan, konsep ini sedang diperkenalkan kepada khalayak kita.

Impak daripada konsep Hermeneutika jika ianya diterapkan untuk menafsirkan al-Qur’an adalah menolak kaedah-kaedah umum Islam, merungkai konsep wahyu sekaligus mempesoalkan kesucian al-Qur’an sebagai kitab yang terlindungi lafaz dan maknanya, dan juga menolak kerasulan Muhammad S.A.W. sebagai penyampai wahyu, tidak lebih daripada tingkatan manusia biasa yang sarat dengan kekeliruan dan hawa nafsu.

Cendekiawan Indonesia, Dr Adian Hussaini pernah menulis mengenai pemikiran Dr Mun’im Sirry yang tercatat dalam buku beliau Fiqih Lintas Agama (editor: Mun’im A. Sirry), yang secara serampangan memberikan tuduhan yang tidak beradab kepada Imam al-Syafi’i rahimahullah:

Kaum Muslim lebih suka terbuai dengan kerangka dan belenggu pemikiran fiqah yang dibuat Imam Syafi’i. Kita lupa, Imam Syafi’i memang arkitek usul fiqih yang paling bijak, tapi juga karena Syafi’i lah pemikiran-pemikiran fiqih tidak berkembang selama kurang lebih dua belas abad. Sejak Syafi’i meletakkan kerangka usul fiqihnya, para pemikir fiqih Muslim tidak mampu keluar dari jeratan metodologinya. Hingga kini, rumusan Syafi’i itu diposisikan begitu agung, sehingga bukan saja tak tersentuh kritik, tapi juga lebih tinggi ketimbang nash-nash Syar’i (al-Quran dan hadits). Buktinya, setiap bentuk penafsiran teks-teks selalu tunduk di bawah kerangka Syafi’i.” (Mun’im A. Sirry (ed), Fiqih Lintas Agama: Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis, (Jakarta: Yayasan Wakaf Paramadina dan The Asia Foundation, 2004), hlm. 5.)

Begitu juga, pensyarah dari University Notre Dame, Indianapolis, Amerika Syarikat ini juga mengatakan bahawa di dalam al-Quran, tidak ada dalil yang secara eksplisit (nyata) melarang pernikahan sejenis dan juga tidak ada dalil yang jelas-jelas membolehkannya, maka perkahwinan sejenis dapat dibenarkan melalui konsep kemaslahatan yang berasal daripada kesetaraan, keadilan dan kehormatan manusia.

Kenyataan beliau ini dibidas oleh Dr Adian Hussaini yang menyatakan “maka dalam al-Quran juga tidak larangan secara nyata untuk menikah dengan anjing, dengan babi, dengan kunyuk, atau dengan tuyul. Di sinilah perlunya metodologi yang shahih dalam menafsirkan al-Quran Ketiadaan metodologi yang shahih ini akan menyebabkan kekacauan ilmu.”

Dr Mun’im Sirry berpendapat bulan Ramadan tiada keistimewaan padanya, selain berpendapat ulama masih berselisih pendapat dalam hal kewajipan wanita menutup rambut mereka sebagai sebahagian daripada aurat.

WACANA YANG MEMPERSOALKAN KEMULIAAN AL-QURAN DAN KERASULAN NABI MUHAMMAD SAW

Saya telah beberapa kali mengkritik IRF dalam banyak pendapat dan artikel mereka yang sangat bermasalah dalam pelbagai sudut.

http://www.ismaweb.net/2014/09/muhammad-asad-a-little-note-to-irf-and-ikram/
http://www.ismaweb.net/2013/07/the-hipocrisy-of-the-islamic-renaissance-front/
http://www.ismaweb.net/2011/11/the-liberal-thoughts-that-h
over-around-us/

Saya kira wacana-wacana terdahulu yang berkisar soal perundangan Islam dan politik semasa masih boleh dibahaskan, dengan berbagai-bagai khilaf dan pandangan tertentu. Namun tindakan mereka membawa tokoh-tokoh yang mempersoalkan perkara yang amat fundamental seperti meragui kerasulan nabi Muhammad SAW dan kemuliaan al-Quran adalah keterlaluan.

Pihak berkuasa wajar menyekat dakyah-dakyah yang mempersoalkan kerasulan Rasulullah SAW dengan memantau seminar anjuran IRF. Seminar kali ini dihadiri oleh Mufti Perlis, dan beliau dapat merungkai secara langsung di dalam forum berkenaan serta menyampaikannya kepada kita melalui rakaman peribadi di FB beliau, kerana beliau bimbang jika Muslim dan non-Muslim yang hadir pulang dengan fakta yang terpesong. Bagaimana dengan banyak lagi wacana-wacana yang telah dan akan dianjurkan lagi jika tiada autoriti agama dibidangnya dijemput? Pun bukanlah kerja kita menghabiskan masa untuk asyik memperbetulkan persoalan yang sebenarnya telah pun pernah dibawa oleh orientalis-orientalis terdahulu, dan telah pun diterangkan oleh ulama, hanya diberi nafas baru dengan adanya media sosial yang baru. Pengalaman sahabat-sahabat kita di Indonesia menangani Islam Liberal juga terlalu banyak untuk kita ambil iktibar, tanpa perlu kita “reinvent the wheel” dan mengimport pemikir liberal mereka ke sini.

Ketika anak-anak kita mempelajari dan memuliakan al-Quran, mencintai Rasulullah SAW sebagai sebahagian tuntutan syahadah dan sebahagian daripada rukun Iman, organisasi seperti IRF dibiarkan secara terbuka menganjur wacana Kritik Teks Al-Quran ini, di atas nama “sekadar perbezaan pendapat dan meraikan kebebasan berekspresi”. Tidak seharusnya alasan ini menjadi lesen membenarkan sesiapa sahaja bercakap di bidang yang mereka bukan ahlinya.

Di sebalik SIMPOSIUM KESEDERHANAAN AL-QURAN, pemikiran Islam liberal itu sendiri adalah hasil daripada “extremism” yang merungkai dan merobek-robek mesej al-Quran. Pemikiran Islam liberal ini di hujung satu kutub, selain daripada entiti seperti ISIS yang terletak di kutub yang satu lagi. Mereka tiada beza.

Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar
International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ)

RUJUKAN DALAM TALIAN
https://www.facebook.com/DrMAZA/videos/10155684824442990/
http://www.haluan.org.my/v5/topik-pilihan/ancaman-islam-liberal/1484-sepintas-lalu-lima-rukun-pemikiran-islam-liberal
https://www.hidayatullah.com/artikel/tsaqafah/read/2013/11/19/7378/sekularisasi-hukum-islam-1.html
https://www.hidayatullah.com/kolom/catatan-akhir-pekan/read/2016/03/06/90642/tafsir-yahudi-tafsir-liberal-tafsir-iblis-2.html
https://www.inspirasi.co/dennyja/5806_mun-im-sirry-menafsir-kisah-nabi-luth-secara-berbeda
http://www.magdalene.co/news-843-religious-resurgence-in-indonesia-alarming-muslim-scholar.html
https://www.researchgate.net/profile/Intan_Zarina/publication/267811092_PANDANGAN_MUSLIM_LIBERALTERHADAP_ILMU_TAFSIR_SATU_ANALISIS_KRITIS/links/55544f9508aeaaff3bf1b5e0/PANDANGAN-MUSLIM-LIBERALTERHADAP-ILMU-TAFSIR-SATU-ANALISIS-KRITIS.pdf
http://abumujahidah.blogspot.my/2015/03/hermeneutika-metode-tafsir-al-quran.html

RUJUKAN BUKU
1. Liberal Islam: A Source-Book, edited by Charles Kurzman (Oxford University Press, 1998).
2. Adnan Zarzour. The Quran and Its Study, Centre of Quranic Research (CQR); Universiti Malaya (2015).
3. Ugi Suharto. Pemikiran Islam Liberal: Pembahasan isu-isu sentral. Dewan Pustaka Fajar (2007).

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Kenali ajaran sesat

Sebelum kedatangan risalah Islam, manusia berada dalam kesesatan akidah dan cara hidup yang menyeleweng sebagaimana dijelaskan di dalam…