Sebuah kempen antarabangsa yang dikenali sebagai Protect Palestine kini mendapat sokongan ratusan ribu orang dari seluruh dunia yang menuntut campur tangan ketenteraan segera untuk menghentikan genosid berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Kempen bertajuk “Saya Sokong Campur Tangan Ketenteraan untuk Hentikan Genosid di Gaza” itu dilancarkan selepas pelbagai usaha seperti protes, boikot ekonomi dan tindakan undang-undang antarabangsa dilihat gagal menghentikan pertumpahan darah yang telah meragut puluhan ribu nyawa. Penganjur kempen menyatakan bahawa dunia kini tidak lagi mampu bergantung kepada diplomasi semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan ketenteraan langsung bagi menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
“Kami telah mencuba demonstrasi, boikot dan tekanan undang-undang. Tetapi semua itu gagal menghentikan pembunuhan.”
“Kami telah mencuba demonstrasi, boikot dan tekanan undang-undang. Tetapi semua itu gagal menghentikan pembunuhan. Satu-satunya cara yang masih tinggal adalah campur tangan ketenteraan,” menurut kenyataan kempen itu yang turut menggesa orang ramai memuat naik gambar memegang mesej sokongan dan menandakan wakil politik masing-masing dengan tanda pagar #ProtectPalestine.
Sehingga kini, hampir 26,000 individu telah menandatangani petisyen kempen tersebut, manakala media sosial dipenuhi desakan agar kerajaan di seluruh dunia mengambil tindakan segera.
53,000 Nyawa Palestin Terkorban, Serangan Israel Paksa Ratusan Ribu Tinggalkan Rumah
Sejak 7 Oktober 2023, lebih 53,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh akibat serangan ketenteraan Israel, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Keadaan bertambah buruk apabila Israel memungkiri gencatan senjata pada Mac lalu, sebelum melancarkan siri serangan baharu yang memaksa ratusan ribu penduduk Gaza meninggalkan kediaman mereka.
Israel turut mengenakan sekatan penuh terhadap Gaza sejak awal Mac, termasuk menyekat kemasukan makanan, air bersih, bahan api dan bekalan perubatan. Akibat sekatan itu, puluhan rakyat Palestin — termasuk kanak-kanak — meninggal dunia akibat kelaparan dan kehausan, sementara hospital tidak lagi berfungsi dan kawasan kediaman musnah teruk.
Di sebalik kecaman masyarakat antarabangsa, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih enggan menghentikan serangan. Beliau kini berdepan waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, bersama bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Bagaimanapun, serangan Israel ke atas Gaza masih diteruskan dengan sokongan penghantaran senjata dari Amerika Syarikat dan Jerman, sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat global yang melihat kegagalan komuniti antarabangsa dalam menghentikan keganasan itu.
Kempen Protect Palestine mencerminkan kekecewaan terhadap kelemahan sistem diplomatik sedia ada dan menandakan perubahan naratif dalam perjuangan membela Palestin, apabila suara masyarakat sivil dunia kini semakin lantang menuntut tindakan yang lebih drastik dan berkesan.
Sumber : Quds News Network