ISLAMABAD, 22 Muharram – Sekurang-kurangnya 63 orang terkorban dan lebih 300 cedera dalam tempoh 24 jam akibat hujan monsun lebat yang melanda wilayah Punjab, Pakistan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat hujan sejak akhir Jun meningkat kepada sekurang-kurangnya 159 orang di seluruh negara.
Hujan lebat telah mengakibatkan banjir, memusnahkan ratusan rumah, dan mencetuskan kejadian runtuhan bumbung – yang menjadi punca utama kematian.
” Lahore mencatatkan 15 kematian, diikuti Faisalabad dengan 9 kematian “
Laporan menyebutkan bahawa Lahore mencatatkan 15 kematian, diikuti Faisalabad dengan 9 kematian. Selebihnya dilaporkan berlaku di beberapa kawasan pertanian seperti Okara, Sahiwal, dan Pakpattan.
Pasukan penyelamat telah mengerahkan bot pada awal pagi untuk memindahkan penduduk dari kampung-kampung yang terletak di sepanjang sungai di kawasan selatan. Namun, paras air dilaporkan mula surut menjelang petang.
” Kanak-kanak menjerit meminta tolong “
“Kanak-kanak menjerit meminta tolong, manakala wanita berdiri di atas bumbung rumah melambai-lambaikan selendang mereka, merayu untuk diselamatkan,” kata Tariq Mehboob Bhatti, seorang petani berusia 51 tahun dari kampung Ladian.
Wartawan Al Jazeera, Kamal Hyder, yang membuat liputan dari daerah Chakwal, melaporkan bahawa hujan lebat menyebabkan kemusnahan besar serta kehilangan nyawa di seluruh wilayah Punjab.
“Hujan telah menyebabkan empangan kecil pecah di tebing sungai dan menghanyutkan kawasan sekitarnya.
“Pakistan telah berdepan siri banjir dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan musim monsun kali ini tidak terkecuali,” katanya. Beliau menambah bahawa pasukan tentera turut mengerahkan helikopter untuk memindahkan mangsa yang terperangkap.
” Lebih 120 rumah musnah dan 6 ternakan turut terkorban “
Pakar meteorologi memberi amaran bahawa Pakistan dijangka terus mengalami fenomena cuaca ekstrem dalam tahun-tahun akan datang, kesan perubahan iklim global.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), lebih 120 rumah musnah dan enam ternakan turut terkorban di Punjab. Sejak akhir Jun, hujan monsun telah menyebabkan 103 kematian dan 393 kecederaan di wilayah tersebut sahaja.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) melaporkan sekurang-kurangnya 159 kematian dan lebih 1,000 rumah rosak di seluruh Pakistan sejak 25 Jun.
-Sumber Al-Jazeera