Pelbagai negara di Asia Barat kini bergolak akibat serangan udara rejim Zionis Israel ke atas Syria dan Lubnan. Malaysia, melalui Wisma Putra, telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 17 Julai 2025 yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.
Malaysia menegaskan bahawa serangan yang menyasarkan kawasan Damaskus serta bandar Druze di Syria, selain lembah Bekaa di Lubnan, jelas merupakan pencerobohan terhadap kedaulatan wilayah negara-negara berdaulat. Tindakan ini bukan sahaja melanggar Piagam PBB, tetapi turut bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia sejagat.
Kementerian Luar Malaysia menyatakan bahawa serangan ini bercanggah dengan prinsip asas undang-undang antarabangsa dan menjejaskan usaha keamanan yang sedang dijalankan. Wisma Putra mendesak agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera dan bertanggungjawab bagi menamatkan siri keganasan ini demi kestabilan serantau.
Malaysia turut menzahirkan solidariti penuh dengan rakyat Syria dan Lubnan yang terjejas akibat keganasan ini. Kerajaan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak bertoleransi terhadap keganasan Israel yang berterusan dan memastikan tindakan undang-undang diambil ke atas pelaku kesalahan tersebut .
Dalam pada itu, Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan negara-negara di Asia Barat harus dihormati. tindakan Israel bukan sahaja mencederakan rakyat awam dan petugas kemanusiaan, tetapi juga mengancam keamanan global jika dibiarkan tanpa tindakan antarabangsa yang tegas