Athens – Kakitangan kedutaan Israel di Greece telah dipindahkan dari kediaman mereka di Athens susulan gelombang protes dan kemarahan rakyat terhadap kekejaman Israel di Gaza.
Seorang pegawai keselamatan kanan Israel mengesahkan kepada Israel Hayom bahawa pemindahan itu dilakukan atas faktor keselamatan “berdasarkan keadaan di Greece”.
Orang ramai di Greece semakin lantang menyuarakan bantahan. Rakyat menyeru agar kekejaman dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dihentikan segera.
Gerakan protes besar yang dikenali sebagai March to Gaza telah mengisytiharkan 10 Ogos sebagai hari tindakan nasional, di mana perhimpunan akan diadakan di seluruh kepulauan dan lokasi pelancongan utama di Greece.
Dalam kenyataannya, March to Gaza menyatakan:
“Rakyat Greece tidak akan berdiam diri terhadap pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh Israel dengan sokongan Barat dan kerajaan Greece sendiri.”
Gerakan itu turut mengajak rakyat menjadikan pulau-pulau, pantai, puncak gunung dan tempat perlindungan sebagai simbol solidariti dengan rakyat Palestin.
Kenyataan tersebut juga mengecam usaha menjadikan Greece sebagai tempat perlindungan kepada mereka yang menyokong atau terlibat dalam kekejaman terhadap Palestin.
Ketegangan semakin meningkat apabila Duta Israel ke Greece, Noam Katz, menyerang Datuk Bandar Athens, Haris Doukas, dengan menuduh beliau tidak cukup berusaha melindungi bandar itu daripada penunjuk perasaan aman yang dikatakan sebagai “kumpulan minoriti terancang”. Katz juga mendakwa pelancong Israel tidak lagi rasa selamat di Athens.
Datuk Bandar Doukas membalas dengan tegas melalui media sosial:
“Kami tidak perlukan nasihat tentang demokrasi daripada mereka yang membunuh orang awam dan kanak-kanak yang sedang beratur untuk makanan.”
Beliau turut menegaskan bahawa Athens sentiasa menolak sebarang bentuk keganasan dan perkauman.
Selama beberapa minggu, protes menentang pembunuhan beramai-ramai di Gaza terus tersebar ke seluruh kepulauan Greece. Di Syros, para penunjuk perasaan telah menghalang kapal pelancongan milik Israel, Crown Iris, daripada berlabuh. Beberapa protes lain turut dilaporkan di seluruh negara.
Sumber : Quds News Network