Pisa – Misteri kematian seorang wanita Palestin berusia 20 tahun, Marah Abu Zuhri, kini mengundang persoalan besar selepas pasukan perubatan Itali menolak dakwaan rasmi Israel bahawa beliau meninggal dunia akibat leukemia.
Marah, yang dievakuasi dari Gaza melalui penerbangan kemanusiaan anjuran kerajaan Itali, tiba di Hospital Santa Chiara dalam keadaan sangat lemah. Namun, kurang daripada 24 jam selepas ketibaannya, beliau menghembuskan nafas terakhir.
Dakwaan Israel Dipersoal
Pihak berkuasa Israel pantas mendakwa kematian Marah berpunca daripada leukemia kronik. Mereka menafikan sebarang kaitan dengan masalah kekurangan zat makanan yang semakin membelenggu rakyat Gaza di bawah sekatan ketat.
Tetapi penemuan doktor Itali membongkar sebaliknya. Profesor Sara Galimberti, Pengarah Hematologi hospital berkenaan, mendedahkan bahawa selepas ujian dijalankan, tiada tanda leukemia ditemui.
“Kami mulakan rawatan untuk leukemia sebaik beliau tiba. Namun sejurus keputusan makmal keluar, rawatan dihentikan kerana leukemia tidak disahkan,” kata Galimberti.
Tubuh Lemah, Malnutrisi Jadi Punca
Menurut laporan La Nazione, Marah datang dalam keadaan amat lemah, sudah lama terlantar dan tidak mampu bergerak. Pasukan perubatan cuba menyelamatkan nyawanya dengan pemakanan berkalori tinggi serta transfusi darah. Malangnya, beliau mengalami kegagalan pernafasan akut sebelum jantungnya terhenti.
Walaupun tiada autopsi dijalankan atas permintaan keluarga mengikut kepercayaan agama, pakar Itali tetap menegaskan: malnutrisi jangka panjang kemungkinan besar memainkan peranan utama dalam kematian Marah.
Simbol Krisis Kesihatan Gaza
Tragedi Marah menyorot realiti pahit sistem kesihatan Gaza yang hampir lumpuh akibat sekatan dan serangan berterusan. Mac lalu, tentera Israel mengebom Hospital Persahabatan Turki-Palestin – satu-satunya pusat rawatan kanser di Gaza – dan memusnahkan sebahagian bangunan serta sekolah perubatan berdekatan.
Dengan bekalan ubat-ubatan disekat dan hospital beroperasi dalam ketakutan, doktor memberi amaran: jika keadaan berterusan, seluruh sistem kesihatan Gaza bakal runtuh.
Sumber : Quds News