Keindahan Jawi Jadi Tarikan Profesor Korea Selatan Mengkaji Warisan Melayu

BANGI, 18 RABIULAWAL – Di sebuah bilik kuliah di Busan, Korea Selatan, suasana riuh dengan suara pelajar yang sedang menghafal kosa kata asing, jauh berbeza daripada bahasa ibunda mereka.

Di hadapan kelas, huruf-huruf Arab-Melayu bergema apabila sekumpulan mahasiswa menyalin dan melafazkannya. Seorang pensyarah berdiri tekun, sabar membetulkan setiap sebutan yang tersalah dan memberi bimbingan penuh teliti.

Pensyarah itu ialah Profesor Kang Kyoung Seok, seorang sarjana Korea Selatan yang jatuh hati kepada tulisan Jawi.

Walaupun beliau bukan Melayu, bukan Muslim, dan tiada kaitan langsung dengan dunia Nusantara, minatnya terhadap Jawi lahir daripada penyelidikan akademik mengenai bahasa Melayu.

Kini berusia 70 tahun, Kang dilahirkan di Seoul. Selepas tamat persekolahan, beliau menyambung pengajian di Universiti Pengajian Luar Negara Hankuk dalam jurusan Melayu-Indonesia pada tahun 1974. Kemudian, beliau meneruskan peringkat sarjana di universiti sama dalam bidang interpretasi dan terjemahan sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pengajian Luar Negara Busan dalam jurusan Melayu-Indonesia.

Minatnya semakin mendalam apabila beliau menyambung pengajian di Universiti Malaya pada 1987 dan memperoleh kesarjanaan kedua dalam bidang Pengajian Melayu. Lima tahun selepas itu, beliau berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah di universiti yang sama.

Bermula daripada rasa ingin tahu, minatnya bertukar menjadi misi peribadi. Baginya, Jawi adalah warisan persuratan yang kaya dengan sejarah, bukti interaksi Islam, politik, dan budaya Melayu. Ia menjadi tanda bahawa tamadun Melayu memiliki sistem tulisan tersendiri yang sarat dengan identiti dan nilai.

Dalam kuliah yang dikendalikan, pelajar diperkenalkan dengan asas huruf Jawi. Mereka sering diminta menulis perkataan mudah seperti “nasi goreng” atau “durian” dalam tulisan Jawi. Setiap kali pelajar berjaya menulis dengan tepat, Kang tersenyum puas sebagai sebuah tanda bahawa Jawi bukan milik eksklusif dunia Melayu, tetapi boleh dipelajari siapa sahaja di dunia.

Cintanya terhadap Jawi juga terserlah melalui inovasi. Beliau pernah membangunkan papan kekunci khas untuk Jawi kerana yakin teknologi adalah kunci kelangsungan tulisan ini. Katanya, generasi muda hanya akan terus menggunakan Jawi jika mereka boleh menaipnya dengan mudah di komputer dan telefon pintar. Tanpa itu, Jawi akan sekadar menjadi ukiran indah di papan tanda atau masjid, bukan lagi alat komunikasi.

Kang turut memperkenalkan gagasan “Jawiology”, iaitu kerangka kajian yang menempatkan Jawi sebagai disiplin ilmu tersendiri. Beliau menekankan bahawa Jawi tidak seharusnya terikat dengan sejarah semata-mata, tetapi mesti dibawa ke hadapan dengan peranan baharu dalam pendidikan dan komunikasi moden.

Beliau juga membina teori perkembangan Jawi adalah bermula daripada penyesuaian huruf Arab kepada fonologi Melayu, proses pembakuan ejaan, hinggalah cabaran kontemporari. Teori ini pernah dibincangkan secara serius dalam kalangan sarjana bahasa di Malaysia.

Hubungannya dengan Malaysia cukup rapat. Malah, beliau pernah menghantar pelajar Korea ke universiti tempatan termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk mendalami tulisan Jawi secara langsung. Anehnya, ketika sebahagian anak muda Malaysia semakin jauh daripada Jawi, pelajar Korea Selatan pula menunjukkan minat yang tinggi.

Kang mengakui keadaan itu ironis. “Di Korea, pelajar sangat bersemangat kerana Jawi sesuatu yang baharu. Tetapi di Malaysia, ada yang menganggapnya ketinggalan zaman,” katanya.

Bagi beliau, Jawi bukan milik satu kaum atau agama. Ia khazanah tamadun yang harus dipulihkan sebagai warisan nasional. Namun katanya, jika Malaysia terus melihat Jawi hanya dari sudut politik atau agama, maka tulisan ini akan kehilangan makna sebenar. Jawi sepatutnya berada di ruang lebih luas iaitu di sekolah, media, papan tanda, dokumen rasmi, malah di dunia digital.

Namun, realitinya berbeza. Ketika seorang profesor Korea gigih memperkenalkan Jawi di Busan, masa depan tulisan ini di tanah air sendiri semakin samar. Kontroversi pengenalan khat di sekolah rendah pada 2019 menunjukkan betapa rapuh kedudukannya iaitu daripada wadah ilmu, ia bertukar menjadi bahan perdebatan politik.

Papan tanda Jawi yang diwajibkan di beberapa negeri pula sering ditolak sesetengah pihak, dilihat sekadar simbol “Islamisasi” dan bukan usaha pendidikan.

Di ruang digital, meskipun fon dan papan kekunci Jawi sudah tersedia, penggunaannya masih terhad. Hampir tiada aplikasi popular atau laman web utama di Malaysia yang mesra Jawi. Bagi Kang, inilah penentu utama: tanpa integrasi digital, Jawi hanya akan kekal sebagai simbol, bukan sebagai bahasa hidup.

Kisah Profesor Kang membawa mesej jelas. Saat Malaysia masih berdebat tentang relevansi Jawi, seorang profesor asing sudah mengajar, mengkaji, dan memperjuangkannya di luar negara.

Pesannya ringkas: tulisan hanya hidup jika digunakan. Jawi mesti diajar, ditaip, dibaca, dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian. Jika hanya dijadikan simbol budaya, lambat-laun ia akan pupus. Lebih malang lagi, jika Malaysia gagal menghidupkan Jawi, besar kemungkinan tulisan ini suatu hari nanti akan lebih dihargai di Busan berbanding Kuala Lumpur.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts