Global Hayat bersama 16 NGO lancar kempen ‘The Rightful Gift’, seru rakyat Malaysia terus hulur bantuan ke Gza

BANGI, 15 RABIULAKHIR – Global Hayat bersama 16 pertubuhan lain melancarkan kempen The Rightful Gift bagi menjelaskan kepada rakyat Malaysia bahawa harapan masih ada untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada penduduk Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat, Muhd Farhan Muhd Fadhil, berkata kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu Palestin amat tinggi, dibuktikan melalui penyertaan pempengaruh tempatan dalam Global Sumud Flotilla, himpunan aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, serta sokongan berterusan di media sosial.

Namun begitu, katanya, segala usaha tersebut masih belum mampu memenuhi hasrat sebenar rakyat Malaysia untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan secara langsung kepada penduduk Gaza yang terus menderita akibat genosid.

“Ada yang merasakan seolah-olah tiada lagi jalan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terjejas,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa rakyat Malaysia masih mampu mengembalikan hak yang adil kepada rakyat Gaza, selain menyampaikan bantuan kemanusiaan melalui cara yang sah dan berkesan.

Beliau yang juga Pengarah Sekretariat kempen The Rightful Gift berkata, inilah yang mendorong Global Hayat, sebagai badan bukan berasaskan keuntungan, bersama rakan-rakan organisasi lain melancarkan kempen tersebut bagi mengembalikan hak rakyat Palestin yang telah lama dinafikan.

Katanya, hak itu bukan hanya sekadar menerima bantuan, tetapi lebih utama ialah hak untuk hidup bebas di tanah air sendiri dan itulah hadiah sebenar yang paling layak diberikan kepada mereka yang terus berjuang dan bertahan.

“Kempen The Rightful Gift akan berlangsung selama enam bulan dengan fokus utama menyampaikan bantuan kemanusiaan hasil sumbangan rakyat Malaysia, yang dijangka memberi manfaat kepada 640,000 rakyat Gaza menerusi saluran sah yang mematuhi undang-undang tempatan dan antarabangsa.

“Antara bentuk bantuan yang akan disalurkan termasuk makanan panas dan roti, kotak makanan dan air bersih, kit kebersihan, susu serta lampin bayi, bekalan perubatan, kayu api, pakaian musim sejuk, selimut, jaket tebal dan khemah perlindungan,” jelasnya.

Muhd Farhan menambah, semangat dan hasrat rakyat Malaysia yang masih membara perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata melalui sumbangan, kerjasama dan sokongan padu terhadap kempen ini.

Justeru, katanya, sekretariat kempen akan menggerakkan segala sumber dan keupayaan yang ada bagi memastikan The Rightful Gift mencapai objektif utama iaitu mengembalikan hak, menyampaikan harapan dan menegakkan keadilan untuk rakyat Palestin.

Beliau turut memaklumkan bahawa sekretariat kempen terbuka untuk sebarang bentuk kerjasama serta mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta, persatuan, kelab dan individu dalam menjayakan kempen ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa 7 Oktober, hari tercetusnya Taufan Al-Aqsa, merupakan tarikh penting dalam sejarah perjuangan membebaskan bumi Palestin iaitu tanah suci umat Islam.

“Tarikh ini menandakan fasa baharu dalam garis masa kebangkitan umat Islam sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948. Ia membuktikan bahawa rakyat Palestin dan umat Islam seluruh dunia tidak pernah redha dengan nakbah yang telah berlaku lebih tujuh dekad lalu.

Taufan Al-Aqsa bukan sekadar membangkitkan roh kesedaran umat Islam, malah membuka mata dunia terhadap kekejaman rejim Zionis Israel yang melakukan genosid terhadap penduduk Gaza. Dua tahun berlalu, umat Islam kini kembali meletakkan isu Palestin di tempat yang sewajarnya dan menjadikannya antara agenda utama perjuangan umat,” katanya.

Pertubuhan yang menjayakan kempen The Rightful Gift:

1. Global Hayat

2. Dunia Palestin Network

3. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

4. Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)

5. Kelab Perwira Malaysia

6. Yayasan Maghfirah

7. Nisa Al-Khair

8. Sukarelawan Ad-Diniah

9. Komuniti Dakwah Tarbiah

10. TV Pertiwi

11. Muafakat Ilmuan Islam

12. Fullstag Artelier

13. Global Nour

14. Harapan Hati Malaysia

15. Media Akal Wahyu

16. Perseni

17. Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts