NEW YORK, 22 Jamadilawal – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menyifatkan gencatan senjata di Gaza sebagai rapuh dan berulang kali dilanggar.
Beliau merayu agar perjanjian itu dihormati sepenuhnya dan dijadikan asas bagi memperkukuh usaha damai di rantau itu.
“Gencatan senjata di Gaza ini rapuh dan sering dilanggar, namun ia masih bertahan. Saya merayu dengan tegas agar gencatan senjata ini dihormati sepenuhnya dan menjadi landasan bagi rundingan fasa kedua. Ini penting untuk mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat Palestin menentukan nasib sendiri serta mencapai penyelesaian dua negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PBB di sini, semalam.
Guterres menambah bahawa operasi kemanusiaan di Gaza kini sedang diperluas, walaupun menghadapi pelbagai halangan.
“Kami sedang meningkatkan secara ketara bantuan kemanusiaan di Gaza, walaupun masih terdapat beberapa halangan dan kesukaran yang belum dapat diselesaikan,” katanya.
“Langkah seterusnya oleh PBB sudah tentu akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan,” tambah beliau.
Sebelum ini, menteri-menteri luar negara Kumpulan Tujuh (G7) menyuarakan kebimbangan terhadap sekatan Israel ke atas kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Mereka, bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, turut memberi amaran bahawa keganasan yang dilakukan oleh peneroka haram Israel di Tebing Barat yang diduduki boleh menjejaskan usaha damai di Gaza.
Sejak Oktober 2023, Israel dilaporkan telah membunuh hampir 70,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam serangan yang disifatkan sebagai tindakan genosid terhadap wilayah Gaza yang dikepung. Serangan itu turut memusnahkan sebahagian besar kawasan Gaza, menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








