“Tak ambil SPM pun boleh berjaya.”
Itulah pandangan segelintir masyarakat yang merasakan Sijil Pelajaran Malaysia bukan sesuatu yang penting. Pada mereka, kejayaan boleh dikecapi tanpa sekeping sijil yang dianggap hanya kertas peperiksaan.
Namun realitinya, dalam kehidupan masa kini, kelulusan akademik seperti SPM tetap menjadi syarat asas untuk membuka laluan ke pendidikan lebih tinggi dan peluang kerjaya. Tanpa sijil tersebut, seseorang mungkin terhad untuk melangkah ke peringkat seterusnya bagi membina masa depan diri, keluarga dan masyarakat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan bahawa dalam kerangka Maqasid Syariah, memiliki sijil SPM boleh dikategorikan sebagai hajiyyat, iaitu satu keperluan yang jika tidak dipenuhi akan menyebabkan kesukaran. Imam As-Suyuti mengumpamakan keperluan ini seperti seseorang yang lapar dan tidak sampai binasa, tetapi tetap berada dalam kepayahan.
Menurut beliau, ketiadaan SPM boleh menyukarkan seseorang untuk menyambung pelajaran atau mendapatkan pekerjaan yang baik. Hal ini selari dengan konsep Maqasid al-Umran, iaitu tujuan syarak dalam pembangunan sosial dan tamadun, termasuk hal pendidikan.
Beliau turut menjelaskan bahawa SPM boleh difahami sebagai salah satu bentuk penilaian kelayakan. Islam sendiri mengiktiraf kewujudan ujian bagi menilai kemampuan seseorang, sebagaimana kisah Rasulullah SAW ketika mengutus Muaz bin Jabal RA ke Yaman. Baginda menguji cara Muaz akan berhukum—sama ada berdasarkan al-Quran, Sunnah atau ijtihad—sebelum melantiknya sebagai pendakwah. Ini menunjukkan bahawa menilai kelayakan adalah prinsip yang diakui dalam Islam.
Dalam masa yang sama, Islam mengajar umatnya untuk tidak bergantung semata-mata kepada tawakal tanpa usaha. Mengambil peperiksaan SPM adalah salah satu bentuk ikhtiar untuk memudahkan urusan duniawi, manakala hasil akhirnya diserahkan kepada Allah SWT. Imam Ibnu Hajar menegaskan bahawa tawakal menuntut usaha, bukan sekadar menyerahkan urusan kepada Allah. Imam Ahmad pula memberi contoh burung yang bertawakal tetapi tetap keluar pada waktu pagi mencari makanan dan usaha didahulukan, barulah tawakal disempurnakan.
Walaupun sijil tidak menjamin kejayaan mutlak, Ustaz Ahmad Fauwaz menegaskan bahawa SPM tetap merupakan instrumen penting yang memudahkan perjalanan hidup. Ia menjadi pintu utama untuk menyambung pelajaran, membina kerjaya dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Islam tidak menolak kepentingan kelulusan akademik sebagai alat bagi memudahkan urusan kehidupan. Ia selari dengan prinsip penilaian kelayakan yang wujud dalam sejarah Islam. Namun, setiap usaha mestilah disertai tawakal yang benar kepada Allah SWT, kerana rezeki dan kejayaan hakikatnya datang daripada-Nya.
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








