Imam Masjid Al-Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Said Sabri, didakwa di sebuah mahkamah Israel di Baitulmuqaddis pada Selasa atas pertuduhan “menghasut”.
Pertuduhan yang difailkan oleh pendakwa raya Israel pada Ogos 2024 itu berkaitan dengan dua ucapan takziah Sheikh Dr Ekrima pada 2022, serta tindakannya menyampaikan ucapan takziah atas pemergian ketua biro politik Hamas, Ismail Haniyeh, yang dibunuh di Iran pada 2024.
Sesi perbicaraan berlangsung di Mahkamah Majistret Baitulmuqaddis, dengan Sheikh Dr Ekrima yang berusia 87 tahun hadir menggunakan kerusi roda, ditemani peguam serta beberapa penyokong Palestin.
Peguam bela beliau, Khaled Zaharia, sebelum ini menyifatkan pertuduhan tersebut sebagai “rekaan” dan berkata, “Kami akan meminta mahkamah mengemukakan bukti lanjut yang diperlukan untuk menolak pertuduhan ini.”
Beliau menambah bahawa melalui perbicaraan ini, Israel berusaha menyasarkan peranan dan pengaruh Sheikh Dr Ekrima sebagai tokoh agama berpengaruh di Baitulmuqaddis. Sheikh Dr Ekrima juga dikatakan menghadapi tekanan berterusan daripada pihak berkuasa Israel, selain kempen hasutan oleh kumpulan pelampau sayap kanan yang secara terbuka menggesa agar beliau disasarkan dan dibunuh.
Mahkamah memutuskan sesi perbicaraan seterusnya akan diadakan pada 6 Januari 2026.
Sebelum ini, pada Ogos 2024, polis Israel melarang Sheikh Dr Ekrima memasuki Masjid Al-Aqsa selama enam bulan kerana menyampaikan ucapan takziah atas kematian Ismail Haniyeh. Pihak berkuasa Israel juga berulang kali mengambil tindakan terhadap imam tersebut berhubung khutbahnya yang menyokong Gaza, selain hasutan berterusan oleh pegawai Tel Aviv termasuk Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Dalam Negeri Moshe Arbel.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci bagi umat Islam. Israel menduduki Baitulmuqaddis Timur, lokasi Masjid Al-Aqsa, semasa Perang Arab-Israel 1967 dan mengilhak seluruh bandar itu pada 1980 — langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Sejak Oktober 2023, tindakan Israel di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat telah mengakibatkan lebih 1,074 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 20,500 ditahan, manakala jumlah korban di Gaza melebihi 69,000 sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.
Sumber: TV Al-Hijrah
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








