Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius dakwaan peningkatan kes HIV dalam kalangan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini.
Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata isu ini adalah kompleks dan sensitif, serta memerlukan pendekatan menyeluruh untuk pengurusan dan penanganannya.
“Beberapa tindakan telah diambil untuk meningkatkan kesedaran mahasiswa tentang kepentingan budaya hidup sihat, termasuk pencegahan penyakit yang berkaitan dengan kesihatan seksual dan langkah awal pengesanan penyakit kelamin. Usaha-usaha ini secara tidak langsung memberi maklumat dan kesedaran tentang implikasi kesihatan sekiranya mengamalkan gaya hidup atau aktiviti seksual berisiko,” katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini.
Sehubungan itu, KPT telah melaksanakan pelbagai program pencegahan, kesedaran, dan intervensi awal yang menumpukan kepada pemerkasaan ilmu berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual. Antara inisiatifnya ialah pendidikan, advokasi, dan kempen kesedaran berkaitan kesihatan seksual di universiti awam.
Menurut Zambry, antara tahun 2022 hingga 2024, program ini melibatkan kira-kira 33,000 mahasiswa dengan kerjasama 60 agensi termasuk NGO, bertujuan membudayakan gaya hidup sihat serta memperkukuh kesedaran terhadap risiko jangkitan HIV, AIDS, dan penyakit kelamin lain.
“Pelaksanaan inisiatif ini adalah sebahagian usaha KPT dalam menyediakan persekitaran universiti yang sihat dan sejahtera, serta membendung pengaruh negatif termasuk gejala seksual songsang dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan berteraskan pendidikan, bimbingan dan intervensi awal,” jelas beliau.
Sumber: Malaysia Gazette
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








