Bantuan Kecemasan The Rightful Gift Bernilai RM2.8 Juta Selamat Tiba di Bumi G

BANGI, 29 Jamadilawal – Sebanyak 11 lori kargo membawa bantuan kecemasan di bawah kempen The Rightful Gift telah selamat tiba di Gaza semalam, bagi membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin yang kini berdepan musim sejuk.

Kempen yang diketuai Global Hayat bersama Komuniti Dakwah Tarbiah, Kelab Perwira Malaysia dan Nisa Al-Khair itu berjaya menghantar 5,400 kotak makanan asas serta 100 tan gandum bernilai RM2.8 juta melalui pintu sempadan Rafah dan Gaza.

Pengarah Kempen The Rightful Gift, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, bantuan tersebut sedang diagihkan kepada keluarga yang paling terjejas di kawasan utara Gaza dan Bandar Gaza.

Menurut beliau, ini merupakan satu pencapaian besar dalam misi bantuan selepas serangan besar-besaran sejak Oktober 2023, sekali gus membuka jalan kepada fasa baharu pengiriman bantuan melalui laluan darat ke Rafah.

“Dalam kempen yang sama bulan lalu, Global Hayat telah menyalurkan bantuan bernilai RM1.6 juta merangkumi makanan panas, roti, kotak makanan, ubat-ubatan, susu, lampin, kayu api, pakaian, selimut dan khemah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhd Farhan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Global Hayat menambah, melalui bantuan yang diuruskan oleh pasukan mereka di Gaza, nilai keseluruhan bantuan bagi Oktober dan November mencecah RM4.4 juta, memberi manfaat kepada hampir 80,000 penduduk.

Selain itu, Global Hayat turut membuka gudang The Rightful Gift di Gaza bagi memudahkan proses penyelarasan penghantaran bantuan daripada rangkaian dagangan bantuan di wilayah tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa bantuan ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dan Nusantara yang tidak pernah berhenti menyokong misi kemanusiaan sejak Oktober 2023.

Katanya, kejayaan ini bukan milik satu organisasi sahaja, tetapi hasil usaha bersama masyarakat yang terus menghulurkan bantuan, doa dan sokongan kepada rakyat Gaza.

“Kami juga mengalu-alukan mana-mana NGO, syarikat korporat dan agensi kerajaan untuk bersama menyertai kempen The Rightful Gift bagi memastikan bantuan dapat dihantar dalam skala lebih besar dan lebih tersusun,” ujarnya.

Seiring perkembangan positif pembukaan laluan bantuan itu, Global Hayat menyasarkan penghantaran 50 lori kargo ke Gaza dalam fasa pertama sehingga akhir Mac 2026.

Beliau menegaskan bahawa misi ini akan diteruskan secara berterusan, dan berharap rakyat Malaysia terus bersama menyokong usaha kemanusiaan tersebut.

“Setiap sumbangan, kecil atau besar, memberi kesan langsung kepada saudara kita di Gaza yang kini berada dalam fasa paling mencabar pada pasca perang, musim sejuk dan tidak lama lagi memasuki Ramadan.

“Semoga segala usaha ini menjadi bukti bahawa Malaysia dan Nusantara sentiasa bersama Gaza dalam apa jua keadaan,” katanya.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts