Setiap kali musim peperiksaan tiba, bukan sahaja anak-anak yang berdebar, malah ibu bapa juga turut terasa gementarnya.
Untuk meredakan perasaan itu sambil menghantar aura positif serta kekuatan kepada anak-anak, berikut beberapa amalan yang Ustaz Don Daniyal sarankan untuk mak ayah lakukan ketika anak sedang menduduki peperiksaan:
1. Berpuasa sunat
Doa ibu bapa adalah antara doa yang paling mustajab. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa sangat mudah dimakbulkan oleh Allah. Pada hari anak menduduki peperiksaan, mak ayah digalakkan berpuasa sambil mendoakan anak agar dapat menjawab semua soalan dengan tenang dan cemerlang. Teruskan berdoa setiap masa.
2. Solat taubat dan solat hajat
Lakukan solat sunat taubat serta solat hajat bagi memohon ketenangan dan kelapangan hati anak. Amalan ini boleh dimulakan sejak seminggu sebelum peperiksaan. Jika berkesempatan, ajarlah anak turut serta melakukannya.
3. Membaca al-Quran
Ketika anak berada di dewan peperiksaan, mak ayah boleh memperbanyakkan bacaan al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaan itu kepada anak. Mohonlah kepada Allah agar hatinya terang, fikirannya lapang, dan diberi kemudahan dalam menjawab setiap soalan.
4. Mengerjakan solat dhuha
Mak ayah juga boleh melakukan solat dhuha sambil memohon agar Allah mempermudahkan urusan anak. Jika berada di tempat kerja, ambillah sedikit masa untuk melaksanakannya. Sertakan doa khusus untuk kejayaan anak.
5. Bersedekah
Sedekah membuka pintu rezeki, termasuk rezeki untuk anak ketika menjawab peperiksaan. Bersedekahlah di masjid atau kepada sesiapa sahaja dengan niat agar Allah memudahkan anak kita menjawab soalan pada hari tersebut.
6. Berzikir dan berdoa secara berterusan
Di mana sahaja mak ayah berada, biasakan berzikir dan berdoa tanpa henti. Walaupun sedang bekerja atau menunggu anak di luar sekolah, teruskan zikir seperti Al-Fatihah 7 kali, Selawat 7 kali, Subhanallah 44 kali, Alhamdulillah 44 kali, Allahu Akbar 44 kali, dan Ya Hayyu Ya Qayyum 21 kali. Sambunglah zikir ini dengan doa khusus untuk anak.
7. Menghantar gelombang positif
Bayangkan wajah anak dan kekalkan fikiran yang positif. Tanamkan keyakinan bahawa anak mampu menjawab soalan dengan baik dan tenang. Apabila mak ayah bersikap positif, insyaAllah anak turut dipengaruhi dengan energi yang sama.
8. Bertawakal kepada Allah
Setelah segala usaha sepanjang tahun dilakukan oleh anak dan dibantu oleh mak ayah, inilah masanya untuk menyerahkan sepenuhnya kepada Allah. Dialah yang Maha Mengetahui. Yang penting, usaha telah dibuat dengan bersungguh-sungguh, doa telah dipanjatkan, dan selebihnya serahkan kepada Allah untuk menentukan yang terbaik.
Sumber: Sinar Harian
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








