Bayaran Saman Tetap Wajib dibayar Walaupun Sudah Meninggal Dunia

Dalam kehidupan moden yang serba pantas, isu saman trafik sering dipandang ringan kerana ramai beranggapan ia hanya hal pentadbiran kecil yang boleh ditangguhkan.

Menurut Perunding Pewarisan Harta Islam, Nurha Consultancy, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir, dari perspektif syariah Islam, saman bukan sekadar denda tetapi satu hak kewangan yang wajib diselesaikan.

“Ini kerana ia melibatkan tanggungjawab terhadap pihak berkuasa serta kepentingan awam,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Beliau menambah bahawa Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan, jika saman dikeluarkan atas kesalahan yang memberi kesan negatif kepada orang lain, membayarnya adalah kewajipan.

“Tidak melunaskan saman dianggap sebagai hutang kepada kerajaan dan termasuk tanggungjawab yang mesti dilunaskan walaupun selepas kematian seseorang,” jelasnya.

Firman ALLAH SWT:

“Wahai orang-orang beriman, taatilah kamu kepada Allah dan taatilah Rasul serta ‘ulil amri (orang yang berkuasa) dalam kalangan kamu.” (Surah an-Nisa’: 59)

Ustaz Muhammad Nur Hafidz menegaskan, saman trafik bukan sekadar denda, tetapi merupakan bentuk takzir, iaitu hukuman yang ditetapkan pihak pemerintah untuk mendidik masyarakat agar mematuhi undang-undang, menjaga keselamatan, dan mengelakkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.

Hukum Tidak Membayar Saman

Seseorang yang mampu membayar saman tetapi sengaja menangguh atau enggan membayarnya tanpa alasan munasabah dianggap berdosa.

“Perbuatan itu termasuk menangguh hutang sedangkan kemampuan ada. Selain itu, pelanggaran undang-undang jalan raya yang membahayakan orang lain menambah dosa kerana ia mengandungi unsur kezaliman terhadap masyarakat.

“Membayar saman hanya memenuhi hak duniawi, tetapi seseorang juga perlu bertaubat atas kelalaian atau perbuatan berisiko yang dilakukan di jalan raya,” tambah beliau.

Dalam disiplin fiqh, saman trafik tergolong dalam kategori ta’zir bi al-mal, iaitu hukuman kewangan yang dikenakan pemerintah ke atas kesalahan tertentu untuk tujuan pendidikan dan pencegahan (zajr wa ta’dib).

“Walaupun terdapat perbezaan pendapat, ramai ulama seperti Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Al-Qayyim berpendapat bahawa hukuman berbentuk kewangan dibenarkan jika membawa maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum). Ia selaras dengan prinsip Sadd az-zarai’, iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemudaratan,” jelasnya.

Oleh itu, peraturan lalu lintas dan saman yang dikuatkuasakan kerajaan merupakan manifestasi tanggungjawab ulil amri untuk menjaga keselamatan nyawa dan harta rakyat.

Meskipun majoriti fuqaha menolak hukuman kewangan kerana bimbang berlaku kezaliman, pandangan minoriti membenarkannya menunjukkan ruang ijtihad dalam konteks pentadbiran moden, selagi menepati keadilan, maslahat, dan tidak disalahguna.

Adakah Tanggungjawab Gugur Jika Meninggal Dunia?

Ustaz Muhammad Nur Hafidz menjelaskan bahawa saman trafik adalah hukuman peribadi (ta’zir syakhsi) dan kesannya bergantung kepada keadaan:

  1. Jika seseorang meninggal dunia sebelum sempat membayar saman, hukum asalnya saman tersebut gugur kerana termasuk hukuman peribadi.
  2. Jika undang-undang negara menetapkan saman tidak gugur dengan kematian, maka ia menjadi hutang yang wajib dibayar daripada harta peninggalan si mati (jika ada).
  3. Jika si mati tidak meninggalkan harta, ahli waris tidak diwajibkan membayarnya daripada harta mereka sendiri, tetapi termasuk amalan ihsan jika dilunaskan bagi pihak si mati.

Dalam konteks pentadbiran moden, jika undang-undang menetapkan saman mesti diselesaikan untuk urusan kenderaan atau harta pusaka, ia termasuk tuntutan kewangan yang wajar dibayar daripada harta peninggalan untuk menutup tanggungan si mati.

Kesimpulan

Beliau mengingatkan bahawa membayar saman bukan sekadar tindakan undang-undang sivil, tetapi juga tuntutan agama dan moral.

“Islam menuntut umatnya menunaikan setiap hak, termasuk hutang terhadap organisasi dan kerajaan, kerana ia merupakan hak masyarakat keseluruhan (huquq al-‘ibad).

“Ambillah peluang promosi kerajaan akhir tahun ini, ia bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi juga menunjukkan keinsafan dan tanggungjawab kita sebagai Muslim yang berdisiplin serta berintegriti,” jelas beliau.

Sumber: Sinar Islam

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts