GAZA, 1 Disember – Universiti Islam Gaza kembali memulakan pengajian secara bersemuka selepas dua tahun terhenti, dengan para pelajar memasuki semula bangunan kampus yang rosak akibat serangan udara Israel.
Di sebalik dinding yang retak dan ruang yang baru dibersihkan daripada runtuhan, ratusan pelajar kembali ke bilik kuliah, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pengajian di universiti berkenaan terhenti selama dua tahun dan dalam tempoh itu, pembelajaran hanya dijalankan secara dalam talian secara terhad disebabkan perpindahan penduduk, gangguan bekalan elektrik serta kerosakan kemudahan kampus.
Pejabat Media Gaza memaklumkan bahawa genosid Israel telah memusnahkan 165 sekolah, universiti dan institusi pendidikan, manakala 392 lagi mengalami kerosakan, mengakibatkan sektor pendidikan di wilayah tersebut lumpuh.
Sebahagian bangunan universiti turut digunakan sebagai tempat perlindungan bagi ratusan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, mendorong pihak pengurusan memohon campur tangan pihak berkuasa untuk menyediakan penempatan alternatif dengan segera.
“Hari ini merupakan hari bersejarah. Kami kembali menuntut ilmu walaupun tragedi dan kekejaman genosid masih dirasai.
“Seperti yang diketahui, rakyat Palestin amat mencintai kehidupan dan pendidikan,” kata Presiden Universiti Islam Gaza, Asaad Yousef Asaad kepada Anadolu ketika mengulas mengenai pelaksanaan kuliah bersemuka secara berperingkat.
Asaad berkata bahawa sebahagian besar pelajar daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan telah kembali ke kampus pada Sabtu.
Beliau turut menjelaskan bahawa sesi pengajian akan dijalankan secara berfasa dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
Universiti itu, seperti institusi pendidikan lain di Gaza, mengalami kemusnahan yang teruk termasuk beberapa bangunan utama yang ranap, menyebabkan mereka bergantung kepada pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh peperangan.
Menurutnya, sebanyak 4,000 pelajar berjaya menamatkan pengajian melalui pembelajaran jarak jauh sepanjang tempoh berkenaan, dan kini universiti kembali menerima pelajar baharu untuk kuliah bersemuka buat kali pertama sejak Oktober 2023.
Sumber: Berita RTM
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








