CANBERRA, 9 Syaaban – Kerajaan Australia telah membatalkan visa seorang pempengaruh Israel yang dikenali kerana kempen anti-Islam, sambil menegaskan bahawa negara itu tidak akan membenarkan kemasukan individu yang berniat menyebarkan kebencian.
Individu berkenaan, Sammy Yahood, sering mencetuskan kontroversi melalui kenyataan Islamofobia di media sosial, termasuk melabelkan Islam sebagai “ideologi menjijikkan” serta “agama para penindas”.
Yahood mendakwa visanya dibatalkan hanya tiga jam sebelum pesawatnya berlepas dari Israel pada Isnin. Walaupun beliau tetap meneruskan perjalanan ke Abu Dhabi, pihak berkuasa tidak membenarkannya menaiki penerbangan seterusnya ke Australia.
Dalam satu hantaran di platform X, Yahood menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu bentuk “kezaliman, penapisan dan kawalan”.
Bagaimanapun, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Australia, Tony Burke, mempertahankan keputusan kerajaan dengan menegaskan bahawa kemasukan ke Australia mestilah berdasarkan tujuan yang sah serta bertanggungjawab.
“Mana-mana individu yang ingin memasuki Australia perlu memohon visa yang sesuai dan datang dengan alasan yang betul,” katanya dalam kenyataan kepada The Guardian Australia.
Pembatalan visa itu dibuat ketika Australia sedang memperketatkan undang-undang berkaitan jenayah kebencian, susulan insiden tembakan beramai-ramai pada 14 Disember lalu di Pantai Bondi, Sydney, semasa sambutan Hanukkah Yahudi, yang meragut 15 nyawa.
Walaupun Yahood turut memegang kewarganegaraan Britain, visanya tetap dibatalkan di bawah peruntukan undang-undang yang sama yang sebelum ini digunakan untuk menolak kemasukan individu lain atas kebimbangan terhadap ucapan kebencian dan unsur ekstremisme.
Dalam perkembangan berkaitan, Australian Jewish Association, sebuah pertubuhan Yahudi konservatif yang menjemput Yahood untuk berucap, menyatakan mereka “mengecam sekeras-kerasnya” tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anthony Albanese.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








