Imam Besar Masjidil Aqsa beri amaran terhadap rancangan Isr43l untuk menghalang laungan azan

BAITULMUQADDIS: Imam Besar Masjidil Aqsa, Sheikh Ekrima Sabri, mengeluarkan amaran terhadap rancangan rejim Israel yang didakwanya cuba melaksanakan larangan azan di masjid-masjid di wilayah Palestin yang diduduki.

Dalam kenyataan pada Isnin, beliau berkata isu azan kembali dibangkitkan selepas beberapa percubaan sebelum ini untuk mengharamkan atau mengehadkan kelantangan azan tidak berjaya dilaksanakan.

“Isu azan ini telah dibangkitkan semula selepas beberapa cubaan berulang kali gagal untuk mengharamkan atau mengurangkan kelantangannya,” katanya.

Menurutnya, Jawatankuasa Menteri bagi Perundangan di Knesset (Parlimen Israel) baru-baru ini telah mengemukakan rang undang-undang yang bertujuan mengehadkan laungan azan di Baitulmuqaddis Timur serta di bandar-bandar Arab dalam Israel.

Pada Ahad, jawatankuasa tersebut telah meluluskan rang undang-undang berkaitan azan yang dibawa oleh parti sayap kanan Otzma Yehudit (Kuasa Yahudi), yang diketuai Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir.

Rang undang-undang itu menetapkan bahawa sebarang sistem pembesar suara di masjid tidak boleh dipasang atau digunakan tanpa permit, dan kelulusan hanya akan diberikan berdasarkan tahap “bunyi” serta jarak masjid daripada kawasan perumahan.

Cadangan tersebut juga memberi kuasa kepada polis untuk mengarahkan supaya azan dihentikan serta-merta jika syarat dilanggar. Sekiranya pelanggaran berterusan, pembesar suara boleh dirampas dan denda akan dikenakan.

Namun begitu, rang undang-undang itu masih memerlukan kelulusan penuh Knesset pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sheikh Sabri menegaskan bahawa langkah terbaru itu adalah perkembangan yang lebih berbahaya kerana cuba menghalalkan sekatan terhadap azan melalui undang-undang.

“Kuasa penjajah tidak mempunyai hak untuk mengubah status quo yang sedia ada di wilayah yang diduduki,” tegas beliau.

Beliau juga menegaskan bahawa pihak berkuasa Israel tidak berhak menganggap azan sebagai gangguan atau pencemaran bunyi.

“Gangguan dan bunyi sebenar datang daripada jentera perang pihak yang melakukan pencerobohan,” tambahnya.

Sumber: TV al-Hijrah

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts