BANGI, 2 Muharram – Persatuan Ikatan Sivil dan Syariah Malaysia (I-Qanun) menggesa supaya perkhidmatan Senator Dr R A Lingeshwaran ditamatkan sekiranya beliau didapati bertindak secara tidak bertanggungjawab berhubung kenyataannya mengenai poster “Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)”.
Presiden I-Qanun, Ramadhan Aldin berkata, kenyataan senator tersebut bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian antara agama serta mencabar kedudukan Islam yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, I-Qanun mendesak agar perkhidmatan Senator Dr Lingeshwaran sebagai Ahli Dewan Negara ditamatkan sekiranya siasatan mendapati beliau bertindak secara tidak bertanggungjawab sehingga menimbulkan keresahan awam, mengganggu keharmonian masyarakat berbilang agama dan mempertikaikan aktiviti dakwah Islam yang sah di sisi Perlembagaan serta undang-undang negara.
Pada masa sama, beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap kenyataan berkenaan bagi menentukan sama ada terdapat unsur kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Ramadhan mendakwa kenyataan tersebut mempunyai kecenderungan menghasut atau sengaja mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Katanya, kenyataan itu juga berpotensi menimbulkan tanggapan salah bahawa usaha dakwah Islam dan kebajikan saudara baharu merupakan aktiviti yang mencurigakan atau bercanggah dengan undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa persepsi sedemikian amat berbahaya dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia kerana boleh menimbulkan syak wasangka antara penganut agama, menggalakkan prejudis terhadap institusi Islam serta mencetuskan polemik yang tidak perlu sehingga mengancam keharmonian negara.
Ramadhan turut menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan diperuntukkan dengan jelas melalui Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11(1) menjamin hak setiap individu untuk menganut, mengamalkan dan mengembangkan agamanya.
Menurut beliau, tiada peruntukan undang-undang yang melarang penyebaran Islam kepada bukan Islam yang secara sukarela ingin mempelajari atau memeluk agama Islam.
Sehubungan itu, I-Qanun menegaskan bahawa kenyataan Senator Dr R A Lingeshwaran bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berpotensi menjejaskan keharmonian antara agama serta mencabar kedudukan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Senator DAP, Dr Lingeshwaran, menuntut agar siasatan dijalankan terhadap satu poster yang memaparkan nama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didakwa mempromosikan pendaftaran mualaf baharu.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








