BANGI, 21 Jamadilawal – Masyarakat menyambut baik peringatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menggesa umat Islam agar berwaspada dan tidak terpedaya dengan kumpulan yang mendakwa memiliki keistimewaan agama tertentu.
Rata-rata netizen berpendapat amaran tersebut dikeluarkan tepat pada masanya berikutan semakin banyak ajaran sesat muncul dengan pelbagai dakwaan luar biasa, termasuk kumpulan yang dikenali sebagai Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi.
Mereka berpandangan, fenomena ajaran sesat yang berselindung di sebalik nama agama kini semakin berani menonjol dan perlu ditangani segera sebelum terus menular dalam masyarakat.
“Sudah terlalu banyak ajaran pelik timbul. Jangan biar mereka merosakkan akidah masyarakat,” tulis seorang pengguna di platform X.
Ada juga yang menekankan bahawa tindakan penguatkuasaan perlu diiringi dengan pendidikan akidah dan bimbingan berterusan supaya umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu yang kononnya bersifat kerohanian.
“Ramai yang terlibat sebab kurang ilmu, bukan sengaja nak sesat. Tapi pemimpin ajaran sesat seperti ini wajar dikenakan tindakan tegas,” kata seorang lagi pengguna.
Dalam masa sama, ramai memuji ketegasan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang menahan ketua dan tujuh pengikut kumpulan tersebut selepas didapati menjalankan aktiviti bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mereka menganggap tindakan itu langkah tepat bagi melindungi akidah umat serta membuktikan kesungguhan pihak berkuasa agama membanteras ajaran menyeleweng.
“Syabas kepada JAIP dan JAKIM. Jangan sesekali beri ruang kepada mana-mana kumpulan yang mempermainkan nama Islam,” tulis seorang pengguna Facebook.
Terdahulu, kumpulan Jemaah Nur Ahmad Istana Pelangi menjadi perhatian selepas JAIP menyerbu sebuah bekas gudang perabot di Kampung Sungai Putat, Pulau Tawar, Jerantut, dan menahan lapan individu termasuk ketuanya.
Serbuan sekitar jam 2.30 petang itu turut menemui pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam ritual khurafat, termasuk tongkat, kain kuning, kain hitam yang didakwa mampu ‘mengayakan’ seseorang, serta batu dibalut kain kuning.
Dalam kenyataannya semalam, Dr Na’im menegaskan bahawa isu penyimpangan akidah bukan hanya melibatkan penguatkuasaan undang-undang, tetapi juga berkait dengan pemeliharaan kesucian Islam dan keselamatan akidah umat.
Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM akan memperkukuh kerjasama dengan jabatan agama Islam negeri bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara selaras dan bersepadu terhadap kumpulan yang menyeleweng.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








