BANGI, 7 SYAABAN – Israel melanjutkan larangan terhadap operasi Al Jazeera Media Network serta penutupan pejabat rangkaian berita itu di negara berkenaan untuk tempoh 90 hari lagi.
Perintah lanjutan tersebut ditandatangani oleh Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karahi, dan diumumkan pada Ahad. Ia turut melibatkan larangan ke atas syarikat penyiaran, penyedia perkhidmatan internet serta platform digital seperti YouTube daripada menawarkan sebarang perkhidmatan kepada Al Jazeera di Israel.
Larangan berkenaan mula dikuatkuasakan pada Mei 2024, selepas kabinet Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, meluluskan penutupan operasi Al Jazeera di negara itu.
Keputusan tersebut dibuat susulan kelulusan satu undang-undang oleh Parlimen Israel yang membenarkan penutupan sementara media asing yang diklasifikasikan sebagai “ancaman kepada keselamatan negara.”
Pada September tahun yang sama, tentera Israel telah menyerbu pejabat Al Jazeera di Ramallah, Tebing Barat yang diduduki, selain merampas peralatan serta dokumen dan mengarahkan penutupan pejabat rangkaian berita itu. Pada Disember lalu, Parlimen Israel meluluskan lanjutan undang-undang berkenaan yang dikenali sebagai “Undang-undang Al Jazeera” untuk tempoh tambahan selama dua tahun.
Ketua Biro Al Jazeera Arab bagi Baitulmaqdis dan Ramallah, Walid al-Omari, berkata keputusan terbaharu itu dibuat sembilan hari selepas Kementerian Komunikasi Israel memaklumkan bahawa agensi keselamatan dan ketenteraan negara tersebut masih berpendirian bahawa liputan Al Jazeera dianggap “memudaratkan keselamatan Israel.”
Al Jazeera sebelum ini menolak dakwaan tersebut dan menuduh kerajaan Netanyahu membuat tuduhan berunsur fitnah terhadap rangkaian berita itu.
Menurut Al Jazeera, tindakan Israel menutup operasi medianya bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Al Jazeera menegaskan bahawa tuduhan fitnah ini tidak akan menghalang kami daripada meneruskan liputan yang berani dan profesional.
“Kami berhak mengambil segala langkah undang-undang yang sewajarnya,” menurut kenyataan rasmi rangkaian berita yang berpangkalan di Qatar itu.
Sumber: TV Pertiwi
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








