Arah kiblat 40 peratus rumah di Lembah Klang tersasar

SHAH ALAM– Kira-kira 40 peratus daripada 5,000 kediaman umat Islam yang diperiksa di Lembah Klang didapati tersasar daripada kedudukan kiblat yang tepat.

Situasi itu dikesan Persatuan Ahli Falak Negeri Selangor (PAFNS) selepas memeriksa lebih 20,000 kediaman dan premis untuk ditentusahkan arah kiblat masing-masing.

Daripada jumlah itu, PAFNS mendapati hanya 5,000 yang diperiksa mempunyai penanda arah kiblat yang ditanda tuan rumah dengan 2,000 daripadanya jelas terpesong.

Baki 15,000 lagi belum ada penanda arah kiblat kerana rumah terbabit baharu hendak didiami dan PAFNS dipanggil membantu menentukan arahnya.

Setiausaha Agung PAFNS, Abdul Latip Ibrahim berkata, pelbagai faktor termasuk kesilapan membaca kompas ketika membuat penentuan sendiri arah tempat bersolat menjadi punca kesilapan ini berlaku.

Keadaan itu menyaksikan ada antara tempat atau ruang solat di sesebuah kediaman itu tersasar sehingga 180 darjah daripada kedudukan sebenar, katanya.

Daripada 20,000 kediaman yang ditentusahkan, hanya sekitar 5,000 sahaja mempunyai tanda arah yang dibuat sendiri tuan rumah.

“Bagaimanapun daripada 5,000 rumah itu, hanya 3,000 rumah yang menggunakan kaedah Istiwa’ A’dzam sahaja yang tepat arah kiblatnya. Kaedah Istiwa’ A’dzam ialah kaedah bayang matahari ketika matahari atas Kaabah iaitu pada 28 Mei, jam 5.16 petang dan 16 Julai,  jam 5.28 petang.

“Sejumlah 2,000 kediaman lagi walaupun dilakukan penanda arah dengan menggunakan kompas dan aplikasi dalam talian, ia dikesan tidak tepat.

“Selain kaedah Istiwa’ A’dzam, terdapat tanda arah yang dibuat sendiri oleh tuan rumah, antaranya mereka menggunakan kompas, sama ada kompas fizikal atau aplikasi penunjuk arah kiblat,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata, aplikasi kiblat dalam talian yang digunakan secara meluas oleh masyarakat Islam ketika ini, dikesan mempunyai kelemahan, walaupun ramai menyangka ia mampu memberikan petunjuk yang tepat.

Aplikasi ini dilihat boleh dipengaruhi keadaan persekitaran, khususnya ketika berada di lokasi yang mempunyai besi dan logam, sekali gus boleh berlakunya sedikit ketidaktepatan arah kiblat.

“Secara umumnya, semua aplikasi yang menggunakan kaedah kompas yang mungkin memberi bacaan betul dan kemungkinan memberikan bacaan yang salah, bergantung kepada faktor besi di persekitarannya.

“Justeru, penggunaan aplikasi ini sebagai panduan kasar mungkin boleh ketika bermusafir dan berada di mana-mana tempat yang tiada petunjuk arah kiblat, tetapi bagi menentukan arah yang tepat di tempat yang kekal seperti rumah, hendaklah memanggil pakar yang bertauliah,” katanya.- Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts