Arahan suntik jemaah haji kukuh status halal vaksin

 

KUALA LUMPUR: Keputusan Kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji tahun ini untuk mengambil vaksin COVID-19, dilihat dapat mengikis keraguan umat Islam terhadap status halal vaksin itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata hukum harus vaksin berkenaan diperakui institusi kefatwaan di seluruh dunia.

“Bukan saja Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan (MKI) yang membuat keputusan mengenai hukum harus vaksin COVID-19, malah institusi kefatwaan di seluruh dunia membuat keputusan sama.

“Malah sejak sekian lama, Kerajaan Arab Saudi mewajibkan jemaah haji dan umrah mengambil suntikan vaksin Meningococcal (ACYW-135) sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Ia bertujuan meningkatkan daya tahan tubuh bagi menentang pelbagai jenis penyakit berjangkit ketika berada di sana,” katanya.

Wan Salim berkata, Kerajaan Arab Saudi juga sudah pasti meminta pandangan ulama mengenai status halal vaksin yang diwajibkan terhadap jemaah haji dan umrah.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq al-Rabiah, dilaporkan berkata antara syarat utama kemasukan jemaah haji pada Julai depan ialah wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata peraturan berkenaan mengukuhkan lagi hakikat bahawa vaksinasi adalah keperluan sejagat, termasuk bagi mengerjakan ibadat haji.

“Isu keharusan vaksin sebenarnya tidak perlu untuk dilihat berdasarkan keputusan Arab Saudi dalam musim haji nanti, kerana ulama kita sudahpun membuat ketetapan sama.

“Ini membuktikan proses vaksinasi COVID-19 adalah satu keperluan yang dilihat secara global,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu memahami keharusan vaksinasi adalah bersandarkan kesepakatan ulama dan pimpinan umat Islam untuk menolak kemudaratan.

“Islam mengajar kaedah tidak boleh memudaratkan diri dan orang lain, lebih-lebih lagi bagi ibadat haji yang membabitkan jemaah berkumpul dalam jumlah ramai pada satu masa,” katanya.

Pensyarah Kanan Fiqh Fatwa Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, berkata keputusan Kerajaan Arab Saudi mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 adalah langkah sangat bertepatan dengan situasi pandemik semasa.

“Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi sudah mewajibkan suntikan vaksin tertentu kerana tidak mahu jemaah umrah dan haji bawa pulang virus atau penyakit ke negara masing-masing.

“Oleh itu, saya menggesa umat Islam jangan lagi ragu-ragu, sebaliknya berikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Mufti di semua negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Fatwa Kedah dan Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, menegaskan kefahaman umat Islam berkaitan vaksinasi perlu seimbang.

“Mereka yang was-was dalam mematuhi arahan pemerintah demi kemaslahatan awam, dianggap menyalahi perintah syarak.

“Menjauhi penyakit dan kemudaratan juga adalah perintah agama, justeru kedua-duanya perlu diletakkan pada tempat yang sebenar supaya kefahaman kita seimbang,” katanya – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts