Kau bangun pagi, check phone. Scroll TikTok, Instagram. Sikit-sikit video perempuan separa b*gel menari, lelaki tidak berbaju, konten lucah bersepah. Mula-mula kau fikir “alah, tengok je, tak buat apa pun”. Tapi hakikatnya? Kau tengah tenat. Tenat dengan ketagihan pornografi yang makin lama makin menjijikkan.
Ramai anak muda hari ni tak sedar – pornografi tu bukan hiburan, tapi racun. Racun minda, racun jiwa, racun akhlak. Kau ingat tengok tu sekadar dosa kecil? Kau tak tahu kesan jangka panjangnya. Otak kau rosak perlahan-lahan. Kau dah tak tahu beza realiti dan fantasi. Bila kahwin nanti, kau mula kecewa sebab isteri kau “tak macam video”. Hubungan jadi hambar, semua serba tak kena.
Yang paling sedih, ramai antara korang ni nampak baik dan alim depan orang, tapi belakang handphone jadi hamba. Hamba kepada gajet kau tu. Subuh tinggal, mata liar, hati mati. Ketagihan pornografi ni buat kau lemah – dari dalam. Kau jadi pemalas, hilang motivasi, tak ada hala tuju hidup. Bila orang ajak buat kerja Islam, kau tak rasa terpanggil. Sebab apa? Sebab jiwa kau dah ditawan syahwat. Kalau kau pergi sekalipun, otak kuning kau masih melayang-layang dalam pemikiran.
Sampai bila nak biar benda ni kontrol hidup kau? Kau sangka Allah tak nampak? Kau ingat mata ni tak akan ditanya nanti? Allah dah pesan jelas:
“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka…”
— (Surah an-Nur: 30)
Benda ni bukan soal malu dengan manusia. Ini soal maruah diri, soal iman. Kalau kau boleh tahan tak makan sehari, kenapa tak boleh tahan mata daripada tengok benda haram? Kalau betul kau lelaki atau wanita yang ada harga diri, buktikan dengan lawan benda ni.
Hidup ni bukan sekadar “ikut sedap”. Kalau hari-hari layan benda lucah, jangan pelik bila hidup jadi sempit. Kau malas solat, makin jauh dari agama, makin kosong walau gelak ketawa atas phone. Itulah kesan dosa. Dosa tu tak berbunyi kuat, tapi ia curi ketenangan satu demi satu.
Kalau kau tengah baca ni, mungkin Allah sayang, Dia nak kau sedar. Dah cukup lama syaitan tipu kau. Bangun. Lawan. Putuskan benda ni. Cari circle yang bawa kau dekat dengan agama. Delete apps sampah. Berhenti layan website jahanam tu. Masuk halaqah. Dekatkan diri dengan Quran. Jangan tunggu hati jadi hitam legam baru nak menangis.
Ingat pesan Nabi SAW:
“Pandangan itu adalah salah satu daripada panah beracun Iblis. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Allah, maka Allah akan memberi kemanisan iman dalam hatinya.”
— (Riwayat al-Hakim)
Bukan senang. Tapi jihad lawan nafsu ni jihad terbesar. Kalau kau menang di sini, insyaAllah kau menang dunia akhirat.