Bersatu padulah harungi jihad rawat kerosakan ditinggal penjajah

BANGI– Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengajak seluruh umat Islam bersatu padu mengelakkan perbezaan yang tidak sepatutnya berlaku dalam mengharungi jihad merawat kerosakan ditinggalkan penjajah di negara ini.

Pengerusi MUIS, Datuk Zamri Hashim berkata, para penjajah apabila keluar daripada negara ini, tidak meninggalkan negara dalam keadaan kuat seperti mana sebelum kedatangannya.

Hakikatnya, terlalu banyak perkara perlu dirawat dan diperbaiki meskipun selepas 66 tahun Malaysia mengecapi kemerdekaan, katanya.

“Islam sebagai cara hidup yang telah diamalkan di negara kita dari sudut perundangan, teknologi dan sebagainya telah ditukar kepada sistem yang tidak bertunjangkan kepada tauhid.

“Sesungguhnya kemerdekaan yang kita capai merupakan pintu kecil atau anak tangga pertama dan diikuti dengan proses merawat dan memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh penjajah,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kemerdekaan ke-66, hari ini.

Selari itu, Zamri berkata, kemerdekaan negara perlu disambut dan dihayati secara bijak serta berstrategi, termasuk mengimbangkan antara mensyukuri nikmati kemerdekaan dan tidak terlalu selesa serta gembira sehingga lupa tanggungjawab yang perlu dilakukan akan datang.

“Sesungguhnya proses merawat kerosakan yang ditinggalkan oleh penjajah memerlukan perjalanan yang panjang.

“MUIS mengucapkan selamat ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat seluruh umat Islam di tanah air,” katanya.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts