PARIS – Seramai 300 penulis terkenal berbahasa Perancis, termasuk Alice Zeniter, Leïla Slimani, J.M.G. Le Clézio, Virginie Despentes dan Mohamed Mbougar Sarr telah menandatangani surat terbuka menyeru agar dunia mengenakan sekatan terhadap Israel atas apa yang mereka sebut sebagai pembunuhan beramai-ramai (genosid) yang sedang berlaku di Gaza.
Dalam surat yang disiarkan oleh akhbar Libération, mereka menegaskan:
“Kita tidak boleh lagi hanya berkata ‘ngeri’. Hari ini, kita mesti menyebutnya dengan nama sebenar – ‘genosid’ di Gaza.”
Para penulis ini turut menuntut:
- Gencatan senjata segera
- Pembebasan semua tebusan yang masih ditahan
Mereka menyatakan serangan Israel ke atas Gaza menjadi semakin kejam dan tidak berperikemanusiaan, terutamanya selepas rejim Zionis melanggar gencatan senjata yang sebelum ini diharapkan dapat menghentikan peperangan.
Mereka turut merujuk kepada kenyataan terbuka beberapa menteri Israel, seperti Bezalel Smotrich dan Itamar Ben-Gvir, yang secara terang-terangan meluahkan niat untuk memusnahkan rakyat Palestin – sesuatu yang dianggap oleh undang-undang antarabangsa sebagai niat genosid.
Dalam surat itu, para penulis menyebut:
“Istilah ‘genosid’ kini bukan lagi satu debat. Ia sudah diakui ramai pakar undang-undang antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia seperti Amnesty International, Doctors Without Borders, Human Rights Watch, dan juga badan-badan PBB sendiri.”
Malah, pemimpin Parti Sosialis Perancis, Olivier Faure, buat pertama kali turut mengisytiharkan secara terbuka:
“Kerajaan Netanyahu sedang melakukan genosid.”
Beliau menambah:
“Bila niat sudah jelas, bila tindakan disengajakan, ini bukan sekadar perang… ini adalah rencana yang dirancang dan dilaksanakan.”
Dalam nada sedih dan penuh harapan, penulis-penulis itu menyatakan:
“Kami, para penulis berbahasa Perancis, telah berdiam terlalu lama. Ramai antara kami sudah menulis, berdemo, bersuara – tapi kini kami bersatu sebagai satu suara: untuk mereka yang tidak dapat lagi bersuara.”
Mereka turut mengenang pemergian Heba Abu Nada, seorang penyair dan novelis Palestin yang dibunuh dalam serangan bom Israel pada 20 Oktober 2023.
“Israel bukan sahaja membunuh. Bila mereka tidak membunuh, mereka mencacatkan, menghalau dan sengaja membiarkan rakyat Palestin kebuluran.”
Mereka menambah dengan pilu:
“Tempat-tempat ilmu dan budaya seperti perpustakaan, universiti, rumah, dan taman – semuanya dimusnahkan. Para penulis Gaza, saudara dan saudari kami, terus diburu… hingga ke helaian terakhir pena mereka.”
“Kami tidak akan berdiam diri. Kami tidak akan berpaling muka. Inilah suara kami – untuk Gaza, untuk kemanusiaan.”
Sumber : Quds News Network