Gandingan manusia, teknologi jamin kawalan kualiti produk halal

Sistem kawalan berasaskan dokumentasi dan audit berkala sentiasa terdedah kepada penyalahgunaan. Apatah lagi sekiranya bahan atau produk diimport dari negara lain, menyukarkan proses pengesahan kerana faktor logistik serta bergantung dokumen disediakan yang mungkin boleh diubahsuai.

Isu logo halal palsu dan kartel daging import baru-baru ini memberi kesan kepada keyakinan pengguna, terutama umat Islam yang turut mempunyai tuntutan agama.

Bagaimanakah sistem kebolehkesanan (traceability) dapat ditingkatkan supaya maklumat tidak boleh diubah suai sewenang-wenangnya?

Dengan kemajuan teknologi digital dan pengurusan data dalam era internet benda (IoT), maklumat digital boleh dikawal supaya tidak diceroboh, sebaliknya diakses untuk tujuan pengesahan.

Baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama beberapa agensi akan membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dan semakan status halal produk luar negara.

Dalam era pasaran globalisasi, ia akan memberi kemudahan kepada pengguna dalam dan luar negara, sekali gus menaikkan imej serta peranan JAKIM pada peringkat global.

Platform ini akan membolehkan pengguna menyemak status halal produk dan pensijilan luar negara diiktiraf JAKIM.

JAKIM juga akan memperkenalkan Modul Halal Eksekutif Antarabangsa, Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia dalam usaha mengantarabangsakan amalan halal Malaysia yang sudah lama menjadi rujukan dunia.

Ini bersesuaian permintaan pelbagai agensi pensijilan halal di luar negara yang ingin mendapatkan pengiktirafan JAKIM sebagai penanda aras jaminan halal.

Ia juga memberi peluang untuk negara meneroka pasaran halal dunia lebih jauh dengan Malaysia sebagai penanda aras sistem jaminan halal. Ia juga akan membantu produk halal tempatan diiktiraf pada peringkat global.

Dalam usaha mengembangkan industri halal, integriti tidak boleh diabaikan. Kewujudan pelbagai agensi pensijilan halal di luar negara juga mengundang pelbagai persepsi masyarakat terhadap tahap ketelusan agensi terbabit yang berkemungkinan hanya ingin mengambil kesempatan.

Ke arah jaminan halal lebih mapan, tahap maklumat bahan dan pemprosesan sesuatu produk juga boleh direkodkan dalam sistem data boleh diakses bukan sahaja oleh pihak berautoriti, bahkan pengguna.

Bagaimanapun antara cabaran perlu dihadapi, sejauh manakah maklumat boleh dikongsikan dan kesediaan industri untuk berkongsi. Sistem kebolehkesanan sudah ada dan boleh ditambah baik dengan memasukkan maklumat risiko halal di sepanjang rangkaian bekalan dan proses terbabit.

Antara maklumat kritikal, kepatuhan proses penyembelihan haiwan, ketulenan spesies daging atau bahan mentah, kepatuhan amalan selamat dan analisis makmal.

Penggunaan teknologi sensor dengan sesuatu bahan dan proses boleh diimbas serta direkodkan automatik ke dalam sistem data akan mencegah penipuan maklumat.

Namun, proses input pada tahap tertentu masih dikawal manusia dan ini masih membuka ruang berlakunya penipuan. Oleh itu, integriti pengendali masih perlu dititikberatkan.

Amalan sedia ada, iaitu pembabitan eksekutif halal terlatih dan berintegriti dalam sistem jaminan halal masih relevan. Dari satu sudut, ini mewujudkan satu ekosistem manusia dan teknologi berganding tenaga dalam memastikan kawalan kualiti produk dijaga dengan baik.

Sementara itu, keupayaan sistem kawalan maklumat boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa kerana teknologi sentiasa berkembang. Oleh itu, langkah JAKIM itu akan merealisasikan halal digital serta mewujudkan permintaan penyelia halal terlatih untuk membantu industri dalam dan luar negara.

Ini juga akan membuka peluang tenaga halal tempatan untuk berkhidmat di luar, di samping mendorong industri tempatan bersaing pada peringkat global.

Pengarah Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia (UPM)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts