Dr. Alaa Kehilangan Sembilan Anak Serentak dalam Sekelip Mata

Di Hospital Nasser, tempat beliau bertugas menyelamatkan nyawa kanak-kanak, Dr. Alaa Al-Najjar berdiri kaku dengan jiwanya luluh, hatinya hancur. Di situlah beliau menerima berita paling tragis dalam hidupnya: sembilan orang anak kandungnya telah terkorban, tubuh mereka rentung, rumah mereka di Khan Younis menjadi sasaran serangan udara Israel.

Beliau dan suaminya, Dr. Hamdi Al-Najjar, kedua-duanya pakar perubatan yang berkhidmat untuk rakyat Gaza — hanya keluar dari rumah seketika. Ketika Hamdi kembali, peluru berpandu menghentam rumah mereka. Dalam beberapa detik, sembilan cahaya hidup mereka telah syahid iaitu Yahya, Rakan, Raslan, Gubran, Eve, Revan, Sadin, Luqman, dan Sidra. Hanya si bongsu, Adam, yang terselamat dengan luka di tubuh dan trauma.

Hamdi kini bertarung nyawa di unit rawatan rapi. Alaa pula berdiri di tengah serpihan hidup yang sudah tidak dapat dipulihkan. Seorang anak terlantar, sembilan telah pergi meninggalkan mereka. Sebuah keluarga musnah — bukan kerana bencana alam, tetapi kerana kekejaman manusia.

Israel bukan sekadar membunuh; mereka menghancurkan jiwa. Mereka tidak hanya menyasarkan petugas kesihatan, tetapi juga keluarga mereka, rumah mereka, harapan mereka, serta masa depan mereka.

Sudah 19 bulan penderitaan ini berterusan di Gaza. Doktor, jururawat, paramedik, anggota penyelamat — mereka bukan sahaja kehilangan nyawa ketika menjalankan tugas, malah menjadi sasaran. Ada yang ditangkap di sekatan, ada yang dikambus di bawah runtuhan, ada yang tidak pulang lagi ke pangkuan keluarga. Hospital bukan lagi tempat perlindungan. Ambulans menjadi sasaran peluru berpandu.

Angka-angka ini bukan statistik. Ini nyawa manusia:

  • 1,402 petugas perubatan terbunuh sejak genosid bermula.
  • 111 anggota pertahanan awam terkorban.
  • 362 petugas kesihatan diculik; 3 diseksa hingga mati dalam tahanan.
  • 26 anggota pertahanan awam turut diculik.
  • 34 hospital dimusnahkan atau dipaksa tutup.
  • 80 klinik diserang dan ditutup.
  • 162 institusi kesihatan disasarkan.
  • 15 pusat pertahanan awam dibom.
  • 142 ambulans dan 54 kenderaan kecemasan dimusnahkan.

Hospital dan sistem kesihatan Gaza kini tenat. Pasukan perubatan antarabangsa disekat daripada masuk. Bekalan ubat, bahan api, dan peralatan semakin pupus. Namun para doktor tetap bertugas — dalam kegelapan, dalam ketakutan tetapi hati yang tabah.

Sumber : Quds News Network

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts