Dua dekad menjual kitab lama

 

KUANTAN: Jika hendak diambil kira keuntungan, sudah lama Ismail Mohamad, penjual kitab lama di sini, menghentikan perniagaannya.

Namun, atas kesedaran mencambahkan ilmu agama, lelaki berusia 69 tahun itu mempu bertahan sejak hampir dua dekad mengusahakan kedai kitab lama berhampiran Masjid Al-Fatah, Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, dekat sini.

Antara kitab yang sukar ditemui di kedainya ialah Kitab Al Jawahir Al Saniyyah hasil tulisan Syaikh Daud al-Fathani, Kitab Bustanul Ariffin karangan Imam An-Nawawi dan Kitab I’tanah Thalibin tulisan Sayyid Abu Bakar Muhammad Syatha ad-Dimyathi.

Semua kitab ini perlu dipesan oleh pelanggan nak pemilik kedai akan berhubung dengan rakannya di Indonesia, Timur Tengah dan Selatan Thailand untuk mendapatkan salinan kitab-kitab itu.

 

PELANGGAN memilih buku dan kitab di kedai Fahmi Network Marketing di Jalan Gambang Kuantan.

“Kedai ini sudah hampir dua dekad saya buka dan sambutan diterima daripada orang ramai juga semakin baik. Boleh dikatakan sejak tahun lalu, tradisi penduduk di sekitar daerah ini dalam mencari atau mendalami ilmu (agama) semakin meningkat dan ia adalah perkembangan baik.

“Ini juga ada kaitan dengan usaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang memperkenalkan program khatam hafazan al-Quran dan program Tafaqquh Fiddin sejak tahun lalu di kebanyakan masjid di negeri ini,” katanya yang berasal dari Marang, Terengganu itu mula menetap di Kuantan pada tahun 1969.

Beliau berkata, sebahagian besar masanya banyak dihabiskan di kedai itu dan pendapatan diperoleh juga agak memuaskan.

“Saya ada 13 orang anak berusia antara 18 hingga 45 tahun. Kalau boleh, memang saya nak seorang daripadanya mewarisi perniagaan ini, tapi buat masa sekarang, belum ada yang tunjukkan minat.

“Menjual kitab lama ini memang pendapatannya tidak menentu, tapi kepuasan jika dapat bantu orang yang sudah lama mencari kitab mereka mahu itu sangat sukar digambarkan.

Ramai juga pensyarah dari institusi pengajian tinggi (IPT) di Pahang dan negeri jiran yang datang ke sini mencari kitab lama untuk rujukan (kajian) mereka.

“Jika kitab mereka mahu tidak ada dalam simpanan, saya akan minta mereka tinggalkan tajuk kitab yang mereka mahu dan saya akan minta rakan di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kelantan dan Pattani, Thailand tolong cari,” katanya.

Ditanya kenapa beliau memilih untuk mengusahakan premis berkenaan, Ismail berkata, ia lebih kepada rasa tanggung jawab untuk menyemarakkan ilmu agama dalam kalangan masyarakat.

“Sebelum buka kedai ini, saya ada membuat pemerhatian juga dan selepas beberapa ketika, saya menyedari bahawa tidak ada orang Islam yang menjadi pengedar atau pembekal kitab untuk pengajian Islam di daerah ini.

“Dari situ, saya ambil keputusan untuk cuba menyediakan perkhidmatan ini dan ia dapat sambutan baik daripada orang ramai. Ketika awal dulu, saya lebih banyak berurusan dengan rakan yang rapat sahaja, sekarang ini, ada (pelanggan) pensyarah, pelajar IPT dan ramai peminat buku (kitab) lama dari segenap pelusuk negara,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
4 comments
  1. Salam Indahnya Islam.Mohon no tel / hp En Ismail Mohamed,owner kedai menjual kitab lama Kuantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts