Gaza Dibedil Tanpa Henti: Israel Musnahkan Ribuan Rumah, Ribuan Nyawa Melayang

GAZA – Api kebencian Zionis terus marak membakar bumi Gaza. Sejak 6 Ogos, rejim Israel tanpa belas kasihan telah menghancurkan lebih 1,000 bangunan di kawasan Zeitoun dan Sabra, Bandar Gaza. Ratusan rakyat Palestin kini terperangkap di bawah runtuhan, menjerit meminta tolong – namun suara mereka tenggelam oleh bunyi bom dan dentuman meriam.

Pertahanan Awam Palestin dalam kenyataan pedihnya mengesahkan: tiada lagi tempat selamat di Gaza. Rumah, sekolah, hospital, malah kem pelarian – semuanya kini menjadi sasaran peluru dan roket Israel.

Hospital pula sudah lumpuh, penuh sesak dengan mayat dan mangsa cedera. Ambulans tidak mampu bergerak kerana jalan-jalan utama dimusnahkan. Ramai yang hilang tidak dapat diselamatkan – hanya tinggal doa yang terbisik di celah runtuhan.

Pembunuhan Terancang, Pengusiran Paksa

Tentera Israel semakin rakus. Kereta kebal mereka kini mara ke kawasan Sabra, memaksa hampir 1 juta penduduk Gaza lari ke selatan. Hakikatnya, bukan keselamatan yang menanti di sana, tetapi kematian perlahan akibat kebuluran.

Kenyataan Pertahanan Awam jelas – ini bukan sekadar serangan, tetapi satu rancangan licik untuk menghapuskan Gaza dari peta dunia, sama seperti yang dilakukan Israel di Rafah sebelum ini.

Ahad lalu sahaja, 51 nyawa rakyat Palestin melayang, termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa. Bayangkan, seorang anak kecil menemui ajalnya di pangkuan ibunya, bukan kerana sakit, tetapi kerana roket Israel yang menjadikan pangsapuri kediaman sebagai sasaran.

Di kem pelarian Jabalia yang hancur lebur, suara tangisan bergema. Gaza kini berdepan dengan dua pilihan: dibunuh dengan bom, atau mati kebuluran.

Kebuluran – Senjata Baru Israel

Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, 289 orang – termasuk 115 kanak-kanak – mati kebuluran sejak perang bermula. Israel bukan sahaja membunuh dengan peluru, tetapi dengan lapar.

Rakyat Palestin yang terdesak mencari sedikit bantuan di lokasi GHF yang dikawal Israel – ditembak mati ketika cuba mengambil makanan. Dunia menyaksikan, tetapi Israel terus menekan butang maut tanpa rasa bersalah.

“Neraka di Bumi”

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, menyifatkan Gaza kini sedang melalui “neraka dalam semua bentuk”. Kebuluran, pengeboman, pengusiran – semua berlaku serentak, seolah-olah manusia Palestin tidak lagi dianggap bernilai.

Kementerian Dalam Negeri Gaza pula memberi amaran tentang rancangan jahat Israel untuk mengusir penduduk Gaza secara paksa. Mereka menyeru rakyat agar bertahan di tanah sendiri, walaupun bom menghujani, kerana berpindah hanya bermakna satu perkara: penghapusan Palestin selama-lamanya.

Genosid Terang-Terangan

Pakar PBB dan pertubuhan hak asasi kini bersuara lantang: apa yang berlaku di Gaza bukan lagi konflik – ini adalah GENOSID.

Namun, Netanyahu dan rejim Zionis terus angkuh, menutup telinga terhadap desakan dunia. Gaza kini sedang dihukum dengan penderitaan paling kejam dalam sejarah moden – dan dunia hanya mampu menonton.


Sumber : Al Jazeera , Diolah semula .

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts