Hari Asyura & ujian Covid -19

Hari ke-10 dalam bulan Muharam, yang turut dikenali sebagai hari Asyura, adalah hari peringatan penting bukan sahaja kepada umat Nabi SAW, tetapi turut menjadi hari yang diingati dalam kalangan orang Yahudi dan Syiah.

Perkara ini boleh difahami daripada hadis riwayat Ibn ‘Abbas RA yang menceritakan bahawa setibanya Nabi SAW ke Madinah, Baginda SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, lalu Baginda bertanya: “Apakah ini (sebab berpuasa itu)? Mereka menjawab: Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah menyelamatkan padanya (hari itu) Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa.

Lalu Baginda SAW bersabda: Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu, maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (HR al-Bukhari, no hadis 4368)

Persoalannya, mengapa orang Yahudi di Madinah berpuasa juga orang Quraisy ketika jahiliyah berpuasa, bahkan Nabi SAW sendiri ketika di Makkah Baginda juga berpuasa?

Berdasarkan kepada penelitian terhadap hadis yang menyebutkan bahawa orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura itu, apabila Nabi SAW bertanyakan hal itu kepada orang Yahudi, mereka menjadikan hari berkenaan sebagai memperingati kisah Nabi Musa AS bersama Bani Israil diselamatkan Allah SWT.

Ada juga riwayat menyebut pada 10 Muharam, Nabi Musa AS bersama Bani Israil dikejar Firaun beserta tenteranya sehingga Allah menyelamatkan mereka dengan terbelahnya Laut Merah melalui mukjizat Nabi Musa AS sehingga mereka mampu menyeberangnya bagi menyelamatkan diri daripada kezaliman Firaun. Peristiwa ini menenggelamkan Firaun.

Oleh sebab itu, Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari ada menyebutkan bahawa antara hikmah (Hari Arafah lebih mulia berbanding Hari Asyura) ialah kerana hari Asyura itu disandarkan kepada Nabi Musa AS, sedangkan hari Arafah disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW (disebabkan wuquf di Arafah). (Ibn Hajar, Fath al-Bari, 4/249).

Walaupun mereka, yakni Bani Israil mengetahui dengan jelas dan faham dengan situasi yang pernah mereka hadapi serta berada dalam pelbagai ujian kepayahan, semua tidak memberi ‘bekas’ dalam hati mereka untuk mentaati Allah SWT.

Bahkan, mereka tidak pun mengambil pengajaran daripada ujian kepayahan dalam bentuk wabak itu melainkan mereka terus ingkar dan takabur dengan apa yang mereka miliki sekalipun diselamatkan Allah SWT.

Berkaitan perkara ini turut dijelaskan dalam firman Allah SWT, surah al-A’raf, ayat 133 yang bermaksud: “(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan dan belalang dan kutu dan katak dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong, takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.”

Sementara itu, Badr al-Din al-‘Aini ada menyebutkan bahawa masyarakat Arab jahiliyah memuliakan hari Asyura kerana pada hari berkenaan mereka memuliakan Kaabah dengan menutupnya dengan kelambu yang disebutkan sebagai kiswah.

Perkara ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 97 yang bermaksud: “Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia dan binatang-binatang korban dan kalungan di leher binatang korban itu.”

Jadi, mereka memuliakan Kaabah dengan menukar kain kelambu kiswah itu setiap tahun yang dilakukan pada setiap 10 Muharam sebagai satu penghormatan dan membesarkan Kaabah pada hari agung (10 Muharam).

Oleh sebab itu, mereka turut melakukan ibadah puasa pada hari berkenaan. (Al-‘Aini, Umdah al-Qari, 14:453)

Memandangkan pada 10 Muharam tahun 1443H ini kita masih dalam suasana pandemik Covid-19 dan belum menampakkan kejayaan menangani wabak ini, kita perlu yakin akhirnya wabak pandemik ini akan berakhir.

Namun, kita sebagai umat Islam boleh mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Musa dan Bani Israil itu, di mana jangan sesekali membelakangi Allah SWT dalam apa saja yang dilakukan. Bahkan, kita sewajarnya reda dan menerima sewajarnya ujian Allah SWT.

Justeru, apa yang perlu difahami adalah setiap wabak itu mengandungi pengajaran sangat penting. Kita tidak sewajarnya memandang remeh perkara ini dan tidak wajar juga menganggap sudah menang atau berjaya mengawal penularan wabak ini.

Jangan menjadi seperti Bani Israil apabila dalam kesenangan dan diberikan kemenangan terus lupa dan alpa kepada Allah SWT.

Memandangkan kita berada dalam bulan Muharam, mengambil pengajaran daripada kemenangan Nabi Musa AS dan Bani Israil daripada Firaun, kita sepatutnya menggunakan peluang untuk berdoa dan memperbanyakkan ibadat supaya diberikan kemenangan dan dibebaskan daripada wabak pandemik Covid-19.

Biarpun kita masih dalam suasana wabak, kita perlu memohon kepada Allah SWT agar segera diangkat wabak ini serta memberikan keselamatan dan mengembalikan kesihatan kita.

Oleh itu, tunggu apa lagi, kesempatan itu jelas ada di hadapan kita. Gunakanlah peluang dan kesempatan dalam bulan Muharam ini, khususnya pada hari ke-10 Muharam, sebagai antara cara dan ikhtiar untuk memohon kepada Allah SWT mendapat kemenangan dalam mengawal penularan wabak Covid-19 seterusnya membebaskan kita daripada sebarang jangkitan baharu serta mengembalikan kesihatan.

Golongan barisan hadapan membabitkan doktor, pegawai perubatan, seluruh staf kesihatan, pihak keselamatan termasuk anggota Rela berpenat lelah menjadi barisan hadapan menghadapi pandemik ini. Jadi, kita sebagai anggota masyarakat wajar gunakan kesempatan untuk bersama membantu dengan kuasa doa dan pengharapan kepada Allah SWT.

Ayuh, kita menyahut peluang agar doa dan munajat didengar oleh Allah SWT. Marilah kita belajar dengan kata-kata Nabi Musa AS dalam peristiwa hari Asyura, baginda istiqamah dalam perjuangan dakwah sehingga diberikan kemenangan. Bahkan Allah SWT mengungkapkan ia sebagai ‘kemenangan Allah’ iaitu selepas bertahan dan bersabar. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts