Harta Hakiki, Tiket Syurgawi

12348001_1189004074447020_5372698900028870034_n

 

HARTAWAN YANG DERMAWAN

Banyak kisah sahabat dermawan yang sering diperdengarkan kepada kita. Antara tokoh terkenal menurut sirah ialah Abdul Rahman bin ‘Auf. Beliau merupakan sahabat yang sangat kaya pada zaman tersebut. Banyak hartanya dan merupakan antara sahabat yang begitu terkenal dengan peribadi beliau yang pemurah dan dermawan. Beliau telah menjadi figura ikutan kepada generasi seterusnya untuk tidak lokek dalam menginfakkan harta, terutamanya pada jalan yang diredhai Allah s.w.t.

Jiwa mereka tidak terikat kepada rasa cintakan harta, malahan bebas daripada tipu daya kepalsuan dunia. Sebagai contoh, pada peperangan Tabuk, beliau telah menyumbangkan 200 uqiyah emas. Beliau juga pernah menyediakan sejumlah 1500 ekor unta untuk dijadikan kenderaan perang. Tatkala hampir meninggal dunia, beliau telah memerdekakan sejumlah besar budak-budak yang beliau miliki. Kemudian diwasiatkan juga supaya hartanya sejumlah 400 dinar emas diberikan kepada bekas ahli Badar seramai 100 orang .

THE BEST CHARITY IS THAT GIVEN BY ONE WHO HAS LITTLE

Untuk menjadi dermawan, tidak semestinya kita perlu menjadi hartawan terlebih dahulu. Diceritakan di dalam sebuah kisah, Sa’id bin ‘Amir Al-Jumahiy merupakan seorang fakir miskin walhal beliau adalah seorang gabenor di Hims pada ketika itu. Pernah pada suatu ketika Saidina Umar Al-Khattab r.a. mengirimkan wang sebanyak 1000 dinar buat perbelanjaan harian kepada Sa’id. Akan tetapi Sa’id memasukkan wang dinar tersebut ke dalam beberapa uncang dan diagih-agihkan kepada fakir miskin.

Walaupun kehidupan beliau boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun sifat derwaman yang terbentuk di dalam jiwa beliau tiada tolok bandingannya. Beliau sedia memberikan harta kepada orang yang lebih memerlukan meskipun hakiaktnya, beliau dan keluarga berada dalam kesusahan dan memerlukan. Beliau merupakan antara lelaki yang membeli akhirat dengan dunia, mengutamakan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya serta mengenepikan hal-hal selainnya.

MUDAHNYA SEDEKAH

Islam sangat menganjurkan penganutnya untuk bersedekah, menginfakkan jiwa dan raga kita pada jalan mencapai redha Allah s.w.t. Tidak perlu rasanya dihuraikan apakah bentuk sedekah yang boleh kita berikan. Terdapat pelbagai bentuk pelaksanaan yang mungkin tidak kita aplikasikan kesemuanya dalam kehidupan seharian. Sedekah bukan bermakna memberi dalam bentuk wang semata-mata, malahan ukiran senyuman, menyampaikan kata-kata yang baik, mengamankan dua pihak yang bertelagah, malahan membuang duri di jalanan juga dikira sebagai salah satu daripadanya.

Andai kata dipandang enteng oleh manusia akan kerja baik kita, ingatlah, sesungguhnya kita mengharapkan penilaian sedekah kita daripada Allah s.w.t.

“Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda”: Siapa yang bersedekah dengan sebutir kurma daripada usaha yang halal, maka Allah akan menerimanya dengan baik, lalu dipeliharanya seperti kamu memelihara anak kambing atau anak unta sehingga sedekahmu itu bertambah besar menjadi sebesar gunung atau lebih besar daripada itu.” –Hadis riwayat Muslim-

TIDAK PERLU TAKUT MISKIN KERANA BERSEDEKAH

Rasulullah s.a.w dalam suatu hadis baginda bersabda: “Tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah.”-Haids riwayat Tirmidzi.
Mungkin masih ramai daripada kita yang beranggapan dengan memberi sesuatu, akan menyebabkan kerugian buat kita. Namun, percayalah bahawa sesuatu yang kita beri merupakan hak milik kita. Bahkan kekal milik kita selama-lamanya. Ibaratnya seperti kita membuka suatu akaun bank baru yang kita namakan “Akaun Simpanan Akhirat”.

Pada setiap kali kita memberi, amaun yang sama akan didepositkan ke dalam akaun kita. Dan bayangkan, akaun ini akan diadili oleh Allah s.w.t. di Mahsyar kelak. Bukankah hidup kita di dunia ini bertujuan mengumpul bekalan untuk dibawa ke sana? Malah bergembiralah kita kerana Allah s.w.t. akan melipat gandakan setiap amal kebaikan yang kita lakukan.

Seperti firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-An’am, mafhumnya: “Barang siapa berbuat kebaikan mendapat balasan sepuluh kali lipat amalnya. Dan barang siapa berbuat kejahatan dibalas seimbang dengan kejahatannya. Mereka sedikit pun tidak dirugikan (dizalimi).” (Al-An’am:160)

BELILAH BAHAGIA DENGAN SEDEKAH

Seringkali kita dengari, bahagia tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Tetapi, ia bisa dibeli dengan sedekah! Hal ini demikian kerana, sedekah bukan sahaja dapat membersihkan harta kita malah ia dapat membersihkan hati dan jiwa kita. Antara hikmah sedekah kepada diri kita; dapat membebaskan jiwa daripada belenggu kebakhilan; sifat kikir dan keangkuhan. Sifat suka memberi dan membantu ini juga dapat memupuk nilai kasih sayang sesama insan dan tanda syukur kita kepada Allah s.w.t. yang telah memberikan kita nikmat untuk membantu mereka yang lebih memerlukan. Jiwa kita akan menjadi lebih tenang dan hilang rasa khuatir, risau serta gusar akan harta yang bertimbun banyaknya, kerana kita telah mendidik jiwa kita bahawa timbunan harta tersebut bukanlah milik kita. Hakikatnya, ia merupakan ujian daripada Allah s.w.t untuk menguji sejauh mana tahap keimanan dan kehambaan dalam diri kita.

TANGAN DIATAS LEBIH BAIK DARI TANGAN DIBAWAH

Justeru, pupuklah jiwa dan hati kita untuk lebih memberi walau hanya sekecil benih kurma sekalipun kerana itu semua akan dikira oleh Allah s.w.t., dicatat oleh sang malaikat di kiri dan kanan. Kita tidak akan pernah tahu, boleh jadi sumbangan atau kudrat kita yang kecil ini yang akan menjadi asbab untuk kita ke syurga kelak. Jadi pasangkan cita-cita dan berlumbalah untuk menjadikan tangan kita tangan yang sentiasa berada di atas. Wallahua’lam.

Ainnur Aisyah Binti Lahmudin
Tahun 3 Pergigian, AB Shetty Memorial Institute of Dental Sciences, Mangalore

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts