BANGI, 19 Safar – Seorang pengawal keselamatan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan hantaran menghina Nabi Muhammad SAW di akaun Facebook miliknya pada April lalu.
Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Norma Ismail terhadap M Ramesh, 57, yang menggunakan akaun Facebook “Ramesh Muniandy” untuk memuat naik komen jelik bersifat melampau dengan tujuan menyakitkan hati orang lain.
Jika gagal membayar denda, tertuduh berdepan hukuman penjara lima bulan. Namun, beliau membayar denda tersebut selepas prosiding.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 10.20 pagi, 11 April lalu, dan hantaran tersebut kemudiannya dikesan di Aras 4, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya, Jalan Tunku Abdul Rahman, Presint 3, Putrajaya pada 12 tengah hari, 15 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Farhan Kamarudin, memohon hukuman berat atas alasan kesalahan itu amat serius kerana secara sedar menghina dan memfitnah Rasulullah SAW dengan tuduhan tidak berasas.
“Kenyataan tersebut berpotensi menimbulkan kemarahan umat Islam, menjatuhkan maruah mereka, dan boleh diakses oleh sesiapa sahaja termasuk golongan muda. Ia memberi kesan negatif kepada persepsi serta tingkah laku masyarakat,” katanya.
Sementara itu, peguam bela tertuduh, P Chandra Segaran, memohon hukuman denda paling minimum dengan mengambil kira pendapatan anak guamnya yang hanya RM1,700 sebulan serta menanggung isteri, tiga anak, dan ibu yang uzur.
Menurut peguam, tertuduh ketika membuat hantaran itu berada dalam keadaan tidak dapat mengawal emosi selepas membalas kenyataan pihak lain. Pengetahuan tertuduh mengenai perkara tersebut juga cetek, dan beliau memohon maaf kepada mahkamah serta orang ramai yang membaca hantarannya.
“Ini adalah kesalahan pertama anak guam saya. Dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya,” ujar beliau.
Sumber: TV Pertiwi
Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam