Isu kalimah Allah: Ambil kira, hormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah MKI

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira dan menghormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, berkata ketetapan yang dikeluarkan pada 2008 itu adalah selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, ia bagi memelihara kesucian nama ‘Allah daripada sebarang bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kalimah Allah yang sepatutnya hanya merujuk kepada ‘Allah SWT yang Maha Esa’.

“Ada beberapa negeri sudah mewartakan keputusan ini. Negeri Perak telah mewartakan fatwa berkenaan.

“Fatwa mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa dalam agama Islam sahaja pada 2010,” katanya.

Semalam, media melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut mengulangi pendirian sama iaitu menggesa KDN mempertimbangkan semula keputusan menarik balik keputusan rayuan berkenaan.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berpandangan penyelesaian terbaik adalah menyerahkan kepada pihak yang ahli dan mempunyai kepakaran dalam konteks isu berkenaan.

“Adalah lebih baik diserahkan kepada yang pakar bagi mencari penyelesaian yang adil untuk semua pihak.

“Mengikut laporan media, Peguam Kanan Persekutuan berpandangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sudah terkhilaf dalam keputusan yang dibuatnya pada 10 Mac 2021 yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama selain Islam,” katanya kepada BH semalam.

Jelas Wan Salim, sebaik-baiknya, isu berkenaan juga perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja memandangkan Duli Tuanku adalah ketua agama Islam di negeri masing-masing, manakala Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong adalah ketua agama di negeri yang tiada Raja atau Sultan.

Mengulas lanjut, katanya, khusus di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa Negeri dalam mesyuarat pada 5 Mei 2008 memutuskan bahawa kalimah Allah hendaklah hanya digunakan secara eksklusif untuk agama Islam dan umat Islam sahaja.

“Jika ada mana-mana orang menggunakan kalimah Allah sebagai nama tuhan di dalam agama selain Islam maka ia dianggap sebagai menghina kesucian agama Islam.

“Kebebasan beragama untuk penganut agama lain bersyarat tidak melangkaui had sempadan agama Islam,” katanya.

Tegasnya lagi, isu berkaitan kalimah Allah ini amat berkait rapat dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dengan jelas di dalam Perlembagaan Negara.

Justeru, tidak wajar isu yang sensitif ini disentuh oleh mana-mana pihak dengan apa alasan sekalipun demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara sesama warga Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum yang berbeza agama, keturunan dan budaya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts