Hamas dijangka akan melantik ketua baharu bagi biro politiknya dalam tempoh terdekat, sama ada dalam beberapa hari atau minggu akan datang, menurut sumber dalaman pergerakan itu yang dipetik oleh akhbar Arab Saudi, Asharq al-Awsat.
Pelantikan tersebut bertujuan mengisi kekosongan jawatan susulan kematian Yahya Sinwar, bekas ketua biro politik Hamas, yang terbunuh pada Oktober 2024 dalam pertempuran dengan pasukan penjajah Israel di Rafah.
Proses pemilihan dijangka bermula pada minggu hadapan atau dalam sepuluh hari pertama Januari 2026, sebagai usaha memulihkan kestabilan kepimpinan dalaman ketika Hamas terus berdepan tekanan dan cabaran berpanjangan.
Sinwar sebelum ini mengambil alih jawatan tersebut selepas pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran pada Julai 2024, yang didakwa dilakukan oleh Israel. Kematian Haniyeh, bersama timbalannya Saleh al-Arouri yang terbunuh di Lubnan pada Januari 2024, mencerminkan siri kehilangan tokoh utama Hamas sepanjang hampir dua tahun serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.
Pemilihan ketua baharu akan dilaksanakan mengikut protokol dan amalan dalaman Hamas sedia ada, melalui proses musyawarah dalam kalangan ahli. Seorang timbalan ketua juga berkemungkinan dilantik sama ada serentak atau tidak lama selepas pemilihan tersebut.
Sementara itu, majlis kepimpinan semasa akan terus menjalankan peranan sebagai badan penasihat sehingga tamat tempohnya pada 2026, mengurus urusan dalaman dan luaran pergerakan tanpa mengadakan pemilihan penuh biro politik buat masa ini.
Antara calon utama yang disebut ialah Khalil al-Hayya dan Khaled Meshaal, dengan al-Hayya dilaporkan mempunyai kelebihan berdasarkan pengaruhnya di Gaza serta peranannya dalam operasi di Tebing Barat.
Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kedua-dua tokoh mempunyai pendekatan berbeza berkaitan isu pengunduran Israel dari Gaza. Al-Hayya dilihat lebih rapat dengan Iran dan menyokong kesinambungan pertempuran sehingga pengunduran penuh Israel dicapai. Sebaliknya, Meshaal dianggap lebih dekat dengan Qatar dan dilaporkan cenderung kepada pendekatan kompromi melalui rundingan bagi menamatkan penjajahan Gaza.
Sekiranya al-Hayya dipilih, pengganti bagi jawatannya sekarang sebagai ketua biro Gaza dijangka akan dilantik, berkemungkinan daripada kalangan tokoh yang berpangkalan di Semenanjung Gaza.
Sumber: Dunia Palestin
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








