iGuru tuntut JPN siasat sekolah larang Majlis Khatam al-Quran

BANGI – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menuntut Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyiasat dakwaan larangan penganjuran Majlis Khatam al-Quran di sebuah sekolah mubaligh di Kuching, Sarawak bagi memastikan maklumat yang diviralkan benar.

Menyifatkan tindakan seumpama itu tidak wajar berlaku, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, murid beragama Islam berhak menganjur majlis berkenaan sekiranya premis Sekolah Kebangsaan (SK) itu tertakluk di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Apatah lagi, aktiviti majlis khatam al-Quran adalah sebahagian daripada aktiviti panitia untuk mengukuhkan penguasaan al-Quran kepada murid sebelum mereka meneruskan ke peringkat menengah, katanya.

“Jika larangan itu tertakluk kepada undang-undang kerajaan negeri, maka wajar satu pendekatan yang lebih harmoni dan penuh hikmah boleh diambil bagi merungkai isu ini.

“Akta Pendidikan 1996 mewajibkan pengajaran subjek Pendidikan Islam jika ada lima murid (beragama Islam) di institusi pendidikan di bawah KPM, maka tak timbul soal majlis khatam ini menimbulkan kontroversi dan ancaman kepada agama lain,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial sepucuk surat – yang menggunakan kepala surat Diocese of Kuching – mengenai larangan mengadakan Majlis Khatam al-Quran yang dijadual berlangsung pada 3 Februari depan.

Dalam surat yang ditujukan kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan St Thomas di Kuching, Pegawai Pendidikan Diocesan, Revd. Robij Sabai memaklumkan majlis untuk murid Tahun 6 itu tidak mendapat kebenaran.

“Kami berasa sangat tidak selesa dan bertentangan dengan jangkaan kami untuk mengadakan program seperti ini di premis sekolah mubaligh kami.

“Justeru, dimaklumkan bahawa Majlis Khatam Al Quran murid Tahun 6 sekolah tersebut yang dijadualkan pada 3 Februari 2024 (Sabtu) dari 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari tidak dibenarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azizee berkata, iGuru kesal jika larangan itu benar dan berharap semua pihak menghormati Perlembagaan negara yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Saya difahamkan aktiviti ini pernah dilaksanakan di SK St Thomas beberapa tahun lalu dan tidak menjadi masalah, bahkan ada sekolah-sekolah mubaligh mengadakan majlis khatam al-Quran.

“Saya gesa semua pihak usah menimbulkan isu-isu sensitif dan kontroversi sebagaimana isu Hadis 40 sebelum ini.

“Semua pihak perlu mengikut garis panduan dan peraturan bagi mengelak perkara seperti ini,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts